Buletin

MENJELANG TAHUN 2030, 2/3 KENDERAAN HONDA ADALAH BERASASKAN ELEKTRIK

Umum mengetahui bahawa perkembangan teknologi automotif hari ini berlaku dalam kadar yang sangat pantas. Jika 80-an dan 90-an merupakan zaman kebangkitan industri yang meletup kerana ledakan ekonomi dunia dan harga bahan bakar yang rendah, dekad-dekad berikutnya menyaksikan kesedaran amat tinggi di kalangan pemain utama industri automotif.

Maka kereta-kereta berteknologi hijau yang lebih bersih mula dihasilkan.

Pada penghujung 90-an, Honda dan Toyota mula menghasilkan kenderaan hybrid secara komersial. Walaupun tidak begitu sukses, kedua-dua pengeluar ini terus melakukan kajian yang mendalam terhadap masa depan teknologi yang tidak bergantung sepenuhnya pada bahanapi petroleum.

Kehadiran syarikat kecil Tesla juga telah mengubah lanskap automotif dan memaksa pemain utama mengubah halatuju produk mereka. Hari ini, hampir setiap pengeluar mengemukakan idea masing-masing tentang masa depan syarikat . Dari sekecil Tata, hingga syarikat unggul seperti Ferrari, semuanya sudah menetapkan pelan jangka panjang syarikat.

Semalam, sewaktu sesi penerangan kepada media di kemudahan Honda berhampiran Litar Twin Ring Motegi, Jepun, Honda memberitahu bahawa menjelang 2030, dua pertiga kenderaan mereka adalah kenderaan berasaskan elektrik. Mereka sudah bersedia dari sekarang menerusi konsep yang agak berlainan daripada kebanyakan pengeluar global yang lain.

Dalam merangka masa depan yang lebih bersih dan kenderaan karbon sifar, Honda merangka strategi menerusi tiga model teras iaitu

  1. PLUG IN HYBRID (PHEV)
  2. FUEL CELL (FCV)
  3. KENDERAAN ELEKTRIK (EV)

Ketua Projek Honda Fuel Cell, Kiyoshi Shimizu memberitahu mereka optimis dengan projek Honda Clarity yang telah dimulakan sejak beberapa tahun lepas.

Ia adalah inisiatif terbesar Honda dalam mengemukakan idea bahawa perlumbaan sebenar teknologi hijau sudah memasuki fasa baru. Honda meletakkan sasaran dalam tempoh 13 tahun akan datang untuk menjadi pengeluar kereta bersih yang dominan.

 

Google ads
Back to top button