Buletin

NISSAN LANCAR NOTE DI THAILAND

Nissan Motor Thailand baru-baru ini telah melancarkan model hatchback yang menarik, Nissan Note. Pesaing dalam segmen B itu bertujuan untuk mengecilkan penguasaan pasaran Honda Jazz di Thailand. Note yang baru pertama kali diperkenalkan di negara itu hadir dalam dua varian iaitu V dan VL.

Menjadi model ketiga di bawah Fasa 1 Projek Ecocar Thailand selepas March hatchback dan sedan Almera, Note ditawarkan pada harga bermula 568,000 baht (RM71,500) sehingga 640,000 baht (RM80,560) seunit.

Sama seperti kedua-dua model tersebut, Note dijana oleh enjin bersesaran 1.2 liter berkuasa 79hp yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Nissan mendakwa penggunaan bahan apinya adalah sekitar 20km bagi setiap liter dengan emisi CO2 120g/km.

BACA: NISSAN e-POWER – ALTERNATIF KEPADA HIBRID & EV?

Untuk varian paling tinggi, Note dilengkapi beberapa teknologi bantuan pemandu seperti Round View Monitor, Forward Collision Mitigation, brek automatik dan sistem Lane Departure Warning. Sistem keselamatan lain termasuklah dua beg udara dan kawalan kestabilan sebagai ciri standard.

Menggunakan tapak roda yang sama dengan Almera, Note mempunyai ruang kabin luas. Walaupun baru di Thailand, Note sebenarnya sudahpun dijual dalam bentuk facelift di pasaran-pasaran lain.

Perubahan ketara dapat dilihat pada gril hadapan V-Motion dan bahagian  bawah stereng yang rata. Bergantung kepada varian, model kompak itu hadir bersama skrin sentuh untuk mengawal fungsi audio dan Bluetooth.

Berbanding pengeluar kereta Eco lain seperti Honda dan Mitsubishi, Nissan mencatat jualan kumulatif tertinggi iaitu sebanyak 258,727 unit sejak tahun 2007. Biarpun begitu, Nissan berada di tangga keempat dari segi penguasaan pasaran selepas Toyota, Mazda dan Suzuki.

BACA: NISSAN MARCH TALAAN NISMO – MEMANG SEKSI!

Buat masa sekarang, Note dikilangkan di Jepun, Thailand, Britain dan Mexico.

Google ads
Back to top button