Artikel PilihanBuletin

PADA 2010, HONDA PERKENAL CR-Z. MAMPU TIDAK JADI LEGENDA MASA DEPAN?

Pada tahun 2011, negara kita adalah pasaran lumayan untuk kereta hibrid. Dasar Automotif Nasional pada masa itu membenarkan pengeluar mengimport model hibrid dan dipasarkan dengan harga tanpa cukai import dan duti eksais.

Susulan polisi tersebut pelbagai model dibawa masuk di antaranya Honda Insight, Civic, CR-Z, Lexus CT200h, Toyota Prius dan Prius C. Harga yang begitu kompetitif dan pakej jaminan bateri telah berjaya menarik ramai pengguna untuk memiliki kereta mesra alam.

Honda Malaysia yang selalu yakin dengan pasaran tempatan membawa kedua-dua versi CR-Z, model pertama pada tahun 2011 dan model facelift pada tahun 2013.

Harga yang ditawarkan ialah RM 111,000 (manual) untuk model 2011 dan dari RM 119,000 (manual) hingga RM 123,000 (CVT) untuk model facelift pada 2013.

Selepas pengecualian cukai dan duti untuk kenderaan hibrid CBU ditamatkan pada penghujung 2013, harganya terus melonjak naik kepada RM 183,000.

Mari kita ber hu hu. Pada waktu itu Honda Jazz Hybrid kekal kompetitif pada RM 90,000 kerana dipasang di Pegoh, Melaka.

Semasa dilancarkan pada 2011, negara kita mencatat rekod dengan menjadi pasaran pertama di Asia Tenggara CR-Z dijual.

Untuk sebuah kereta dua pintu dengan teknologi hibrid dan harga lebih daripada RM 110,000, sambutan yang diterima adalah menggalakkan. Apatah lagi jika harga Proton X70 dijadikan ukuran sekarang ini.

Honda CR-Z sebenarnya dilancarkan di Jepun pada Februari 2010 dan tidak dapat tidak ia adalah jelmaan CR-X tetapi dengan kuasa hibrid.

CR-Z dikuasakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC dengan gabungan Integrated Motor Assist™ (IMA®). Kadar penggunaan minyak yang di atas kertas ialah 25 km/L. Sangat jimat.

Tidak dapat dipastikan apa yang difikir oleh Honda pada waktu itu, reka bentuk ala CR-X tetapi dengan enjin hibrid. Ia ibarat satu ironi, keberanian dan risiko besar diambil Honda.

Kenapa tidak gunakan sahaja enjin Type-R ke dalam model sporti ini? Ini adalah Honda dan mereka sanggup bereksperimen.

Honda membangunkan CR-Z dengan tiga nilai utama iaitu Emosi (reka bentuk dan rasa yang ada jiwa), Mengujakan (menjadikan pengguna rasa seronok untuk memandu) dan Pintar (bertanggung jawab kepada alam sekitar, berguna dan bebas).

Satu lagi perkara yang harus diketahui ialah apakah makna CR-Z? Ia sebenarnya merujuk kepada Compact Renaissance Zero.

Honda menterjemahkan ayat tersebut kepada komitmennya untuk kembali kepada asal (zero) dan mengambil cabaran untuk menghasilkan sebuah kereta kompak tanpa terikat kepada nilai tradisi sebuah coupe.

Kegilaan ini yang membuatkan ramai enthusiast meminati Honda dan bukan sekadar emblem H atau ikut-ikutan.

Soalnya sekarang, dengan enjin hibrid dan kegilaan ini mampukah CR-Z menjadi legenda masa depan? Siapa tahu bukan?

BACA: KIT SUPERCHARGER HONDA CR-Z

BACA: HONDA CR-Z 2017 – GUNA PLATFORM CIVIC?

Google ads
Back to top button