Buletin

PROTON KEMBALI KE MESIR. SASAR JUAL 1400 UNIT TAHUN HADAPAN

PROTON hari ini memperkenalkan model-model baharu ke pasaran Mesir di cawangan 4S baharu di Smart Village, Abbou Rawash, Giza. Majlis telah dirasmikan oleh Steven Xu Yuan, Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON bersama Encik Hisham Ezz Elarab, pemilik Alpha Ezz Elarab dan disaksikan oleh Yang Terutama Encik Mohd Haniff Abd Rahman, Duta Besar Malaysia ke Mesir.

Seperti yang dijanjikan semasa majlis pelepasan di Tanjung Malim pada September lalu, sejumlah 246 buah kereta Proton terdiri daripada pemanduan sebelah kiri Proton Saga dan Proton Exora tiba dengan selamat di pelabuhan Mesir bulan lepas.

Pengedaran kereta-kereta tersebut akan diuruskan oleh pengimport tunggal kereta Proton di Mesir iaitu Alpha Ezz Elarab yang akan melakukan penghantaran ke tujuh pusat cawangan dan pengedar yang akan menjualnya ke pasaran.

Pengimport mensasarkan jualan sebanyak 1,400 unit bagi 2019, yang juga merupakan sasaran yang mampu dicapai di mana Saga dan Exora Plus baharu akan mula dijual pada pertengahan tahun depan.

Bercakap semasa pelancaran, Hisham Ezz Elarab, pemilik Alpha Ezz Elarab berkata, beliau amat teruja sewaktu model-model terbaharu Proton tiba di Mesir kerana kini, dia dan pasukannya dapat bekerja untuk memperkukuhkan semula jenama PROTON berikutan dengan perubahan dinamik yang berlaku kepada jenama PROTON di Malaysia.

Selain menjadi pengimport tunggal, Alpha Ezz Elarab merupakan syarikat pertama yang membawa Identiti Korporat terkini PROTON pada bilik pameran luar negara.

Dibuka kepada orang ramai bermula 10 November, pusat cawangan ini menyediakan perkhidmatan jualan, servis, alat-alat ganti serta mempunyai kemudahan membaiki yang meliputi kawasan sebesar 15,000 meter persegi.

Cawangan-cawangan Proton lain di Mesir yang akan menampilkan Identiti Korporat baharu adalah di Al-Battal Street, Mohandessee dan Nahas Street, Bandar Nasr.

“Mesir berpotensi memainkan peranan besar dalam membantu PROTON mencapai sasaran jualan masa hadapannya dengan meningkatkan jumlah jualan eksport kami. Syarikat dan pengimport di Mesir perlu bekerjasama dengan lebih rapat untuk memastikan keperluan pasaran dapat dipenuhi apabila produk diperkenalkan beserta harga yang sesuai untuk pembeli di sini. Sekiranya kami mampu melakukannya dan dapat menyerahkan kereta tepat pada masanya, maka kami boleh berjaya,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON

Google ads
Back to top button