Artikel Pilihan

NISSSAN VANETTE – RAJA VAN DI MALAYSIA

Sama ada kita sedar atau tidak, pola pemilikan kenderaan penumpang seperti van dari dahulu lagi sememangnya mendapat sambutan daripada orang ramai, terutamanya kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai mahu pun golongan peniaga. Golongan sedemikian amat memerlukan sebuah kenderaan pengangkutan yang lasak tetapi cukup praktikal.

BACA : ALKISAH MITSUBISHI DELICA – VAN TERKEMUKA DARI TANAH JEPUN

BACA : PELIK TAPI BENAR – NISSAN EVALIA TIDAK LAKU DI INDONESIA

Harus diakui, di tempat kita Nissan Vanette, Toyota Liteace dan juga Mitsubishi Delica bersaing sengit untuk merebut tahta siapakah Raja Van di Malaysia. Cuma kalau hendak diikutkan dari segi spesifikasi, Mitsubishi sudah boleh dikeluarkan sebagai calon juara, memandangkan Delica ini mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi berbanding dua pesaingnya.

Jadinya, antara Liteace atau pun Vanette, rasanya ramai yang setuju dengan pemilihan yang Brader Karrager lakukan ini. Kalau hendak diikutkan, kedua-duanya amat diminati oleh rakyat Malaysia. Namun, faktor pemasangan tempatan ternyata menjadi bonus tambahan, mengapa Nissan Vanette selayaknya diangkat sebagai Raja Van di tempat kita.

Generasi pertama juga dikenali dengan kod C20 mula berada di pasaran Jepun bermula 1978. Di Jepun ianya turut dikenali dengan nama Datsun Vanette ataupun Nissan Sunny Vanette. Di Jepun, spesifikasi yang ditawarkan boleh tahan menarik juga di kala itu. Nissan Vanette ini turut  mempunyai varian pikap bagi mengangkut keperluan kargo ringan. Pilihan enjinnya pula 1.2 liter sehinggalah kepada 2.0 liter (diesel). Dan ditempat kita, pilihan yang ada hanyalah enjin 1.5 liter dengan kuasa sekitar 82PS. Siap ada model bumbung tinggi lagi untuk Nissan Vanette ini.

Dan kelibat Vanette C210 ini ketika Brader Karrager masih kecil, amat mudah untuk dilihat terutamanya di tapak pasar malam seluruh negara. Malah, sehingga ke hari ini, Brader Karrager pernah melihat model ini masih gagah menyulusuri jalanraya sambil membawa barangan niaga di pasar pagi. Handal bukan main lagi.

Dan kemuncak kepada pertabalan Raja Van di Malaysia ini adalah menerusi pengenalan model gantian berikutnya,C22 apabila Tan Chong memutuskan untuk menjadikannya sebagai pemasangan tempatan sehinggalah penamatan pembuatannya pada tahun 2010. Pihak Tan Chong sekali lagi bertindak bijak apabila menawarkan varian pikap dan juga panel van selain daripada van penumpang untuk dibeli oleh rakyat Malaysia dan juga untuk dieksport ke luar negara.

Masih lagi mengekalkan enjin 1.5 liter dengan kotak gear manual, harga yang ditawarkan masih boleh dikira mampu milik pada waktu itu. Apatah lagi kos penyelenggaraanya masih boleh dikira sebagai mampu bayar. Ketahanan lasak model ini sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Pemandu persendirian juga banyak membeli unit terpakai Nissan Vanette dengan harga yang murah untuk dijadikan sebagai van sekolah. Satu langkah yang bijak sebenarnya.

Akan tetapi, penggantinya selepas itu, Nissan NV200 hanya tersedia dalam varian van panel sahaja di tempat kita Selera pemilik telah berubah kepada MPV yang lebih selesa. Malah, nasib Nissan Evalia (nama panggilan NV200) di Indonesia juga turut tenggelam.

 

 

 

Google ads
Back to top button