
TEKSI LONDON NISSAN NV200
Nissan semalam mendedahkan wajah terbaharu teksinya untuk London. Jentera itu telah direka semula bagi membolehkannya dikenali secara serta-merta sebagai teksi hitam London yang ikonik.
Dibina berdasarkan kepada platform kenderaan pelbagai guna NV200, ia diperkenalkan buat pertama kali kali pada Ogos 2012 sebagai satu visi baharu buat teksi London Hackney Carriage.
Selepas mendapat maklum balas daripada pejabat Datuk Bandar London dan beberapa agensi lain, Nissan telah mengubahsuai teksi tersebut. Ia dibangunkan untuk London, di London oleh Nissan Design Europe (NDE) yang berpangkalan di Paddington. Pusat rekaan sama yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk model Qashqai dan Juke.
Teksi baharu ini akan dilancarkan pada Disember 2014. Ia dilengkapi enjin petrol moden bersesaran 1.6 liter yang dipadankan bersama kotak gear automatik. Nissan juga dijangka memperkenalkan teksi VN200 versi elektrik pada tahun 2015.
Nissan bukanlah jenama asing dalam pasaran teksi London. Enjin diesel TD27 berkapasiti 2.7 liter pernah digunakan pada teksi FX4 ‘Fairway’ dan TX1 pada tahun 1980-an hingga 1990-an. Enjin itu terkenal dengan reputasinya yang tahan lasak dan boleh dipercayai.
Teksi London NV200 adalah sebahagian daripada program teksi global Nissan yang turut meliputi bandaraya seperti New York, Barcelona dan Tokyo.













