Buletin

VW POLO GTI 2018 – DARI 1.4 KE 1.8 KINI DENGAN 2.0 TSI!

VW Polo GTI (MK5) pernah dipasarkan di Malaysia pada 2011 dengan harga RM133,000 untuk varian dua pintu dan RM136,000 untuk varian lima pintu. Pada harga tersebut ia begitu laris sehinggakan tempoh menunggu memakan masa berbulan-bulan.

Polo GTI MK5 dikuasakan oleh enjin 1.4 TSI dan selepas beberapa ketika penjualannya dihentikan susulan perubahan harga yang naik mendadak. Harga baharu ialah RM153,000 untuk varian dua pintu dan RM158,000 untuk varian lima pintu.

Untuk pasaran global, versi kedua Polo GTI MK5 dilancarkan pada tahun 2015 di mana enjin 1.4 TSI supercaj dan turbo (sama seperti VW Scirocco) digantikan dengan enjin 1.8 turbo yang dibangunkan bersama Audi. Dari situ, sudah bermula naik taraf kuasa Polo GTI.

Namun harus tahu, VW tidak pernah tetap dalam menguasakan Polo GTI, sesarannya asyik bertukar-tukar dari 1.3, 1.4, 1.6. 1.8 hinggalah yang terbesar iaitu 2.0 seperti sekarang ini.

Kini model yang dahulunya dikenali sebagai kecil-kecil cili padi itu sudah berupah rupa dan konsep. Apa yang menarik tentang Polo GTI sebelum ini ialah konsepnya yang kecil tetapi berkuasa. Ia ibarat Polo biasa tetapi penuh dengan kuasa apatah lagi dengan kemasan GTI.

Ini boleh dilihat melalui angka dan enjin Polo GTI 2018 yang turut didedahkan pada Jumaat lepas. VW Polo GTI kini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter TSI berkuasa 200 PS / 197 hp. Polo GTI dengan enjin 1.8 TSI sebelum ini berkuasa 192 PS / 189 hp manakala enjin 1.4 TSI asal berkuasa 180 PS atau 177 hp.

Jika dibuat kesimpulan, dari 1.4 TSI 177 hp kepada 1.8 TSI 189 hp dan kini 2.0 TSI berkuasa 197 hp.

Sesuai dengan output kuasa yang meningkat, Polo GTI baharu dilengkapi seleksi mod pemanduan iaitu standard sport atau Sport Select.

Seperti mana identiti GTI, Polo ini didatangkan dengan rekaan bamper berbeza yang disekalikan bersama spoiler bawah dan lampu kabus. Di gril pula kemas dilekapkan logo GTI dan jaluran merah. Selain itu, untuk pelanggan yang mahukan identiti lebih istimewa, VW turut menawarkan lampu utama LED dengan sirip merah yang bersambung dari jaluran merah pada gril.

Pada bahagian belakang pula, spoiler but bersaiz besar dipasangkan dengan warna hitam kilat dan seperti biasa, peresap pada bamper dan muncung ekzos berkembar pada sebelah kiri. Lampu belakang menggunakan LED dan pada bucu but ialah logo GTI.

Di sisi kereta pula, Polo GTI dipasangkan dengan roda aloi standard 17 inci dan boleh dinaik taraf kepada 18 inci. Manakala angkup brek pula seperti lazimnya, diwarnakan merah.

BACA: TREND ENJIN KECIL BAKAL BERAKHIR – BOS VW

BACA: 5 PERKARA ANDA PERLU TAHU TENTANG VW GOLF FACELIFT

Pada bahagian dalaman adalah tipikal sebuah GTI, kerusi sport dibaluti kemasan Clark dengan corak tartan. Stereng pula disulam dengan jahitan merah dan dikontra bersama warna gelap pada balutan tiang dan kulit bumbung. Juga seperti biasa, tombol gear GTI.

Akhir sekali bagaimana pula dengan harga? VW tidak berkongsi harganya namun berdasarkan artikel Polo 2018 sebelum ini, versi standard dipasarkan pada harga sekitar RM 62,000. Boleh jadi, andai kata dibawa masuk ke pasaran tempatan harganya mungkin menghampiri RM200,000 jika mengikut senario harga VW Golf GTI dengan enjin 2.0 TSI.

Jika Polo GTI pun sudah hampir menyamai harga Golf GTI, maka boleh lah diandaikan Golf generasi baharu nanti akan lebih premium. Mungkin setara dengan Mercedes-Benz A Class.

Google ads
Back to top button