Pandu Uji

BYD ATTO 3, SUV ELEKTRIK PALING EFISYEN DAN BERBALOI. 440KM UNTUK SEKALI CAJ

Penulis rasa strategi BYD dalam usaha membawa masuk SUV elektrik pertama mereka ke Malaysia adalah berkesan. Pertama BYD membawa masuk model generasi kedua BYD Yuan dan bukannya model yang pertama. Kalau bawak masuk model pertama rasanya agak susah pengguna di sini menerima rekaan BYD Yuan generasi pertama

Kedua nama Yuan ditukar kepada nama BYD Atto 3 yang lebih sedap didengar dan berbunyi lebih menarik. BYD Yuan merupakan model yang dihasilkan di bawah susur galur BYD Dynasti di mana semua model yang dihasilkan di bawah konsep akan dinamakan sempena nama maharaja China

BYD menukar nama kepada Atto, iaitu ukuran fizik terkecil yang digunakan oleh saintis, dan BYD juga mengatakan ATTO membawa maksud speed, energetic dan juga dynamic. Dan strategi ketiga yang berkesan ialah BYD menawarkan harga yang cukup kompetitif bagi sebuah kereta elektrik

Dengan hanya RM 167,800, anda ditawarkan sebuah SUV elektrik dengan jarak sehingga 480km (NEDC) dengan varian Extended Range. BYD Atto 3 dipasang dengan satu motor elektrik pada gandar depan yang menjana sehingga 201 kuasa kuda dan 310Nm tork.

Jika anda mahukan varian yang lebih murah, anda boleh pilih BYD Atto 3 Standard Range yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 410km (NEDC) dengan motor elektrik yang sama dengan Extended Range. Varian ini ditawarkan pada harga RM 149,800 sahaja dan lebih murah serta sesuai bagi pemanduan di bandar

BYD merupakan salah satu syarikat yang berdaya saing, berupaya menghasilkan bateri Blade sendiri dan memiliki sejarah yang cukup unik. Anda boleh baca berkenaan keupayaan kejuruteraan BYD di SINI

1. Rekaan Luar- BYD membawa masuk Wofgang Egger (bekas Ketua Designer Alfa Romeo, SEAT dan Audi) sebagai ketua jururekabentuk mereka bagi semua kenderaan di bawah jenama BYD. Hasinya BYD Atto 3 kelihatan jauh lebih matang berbanding dengan model pertama BYD Yuan.

Rekaan luarnya kelihatan moden, boleh diterima oleh penulis, dengan rekaan luarnya direka agar kelihatan sporti dan eksekutif pada masa yang sama. Antara elemen yang menarik termasuklah penggunaan lips yang berwarna biru dalam lampu, rekaan sisi dengan kontur yang cukup menarik serta nampak sedikit pengaruh rekaan Jerman di bahagian luar

BYD Atto 3 boleh dikategorikan sebagai SUV segmen C dengan saiz 4455mm panjang, lebar 1875mm dan tinggi 1615mm. Jarak antara rodanya pula ialah 2720mm, 60mm lebih panjang berbanding dengan Honda CR-V.

2. Rekaan dalam – diserahkan kepada Michele Jauch-Paganetti iaitu bekas jururekabentuk daripada Mercedes Benz dan sekarang bekerja dengan BYD. BYD Atto 3 mengetengahkan rekaan yang sporti terutama rekaan kusyen namun tema ini gagal membuatkan penulis suka dengan rekaan papan pemuka terutama penggunaan meter halaju yang dipasang di depan stering, terasa kecil sangat

Tapi secara keseluruhan anda akan mendapat satu ruang dalaman yang cukup selesa terutama ruang kaki di bahagian belakang yang luas dan rata. Penggunaan e-Platform 3.0 yang baru memboleh Blade Battery disusun rapat ke cesi dengan kaedah Cell to Body. Blade Battery juga bertindak sebagai medium untuk mengukuhkan ketegaran cesi

BYD Atto 3 juga mendapat kemasan bumbung panaromic bagi menghasilkan ruang dalaman yang luas, diberi ruang kargo sebesar 440 liter dan boleh dibesarkan lagi menjadi 1340liter apabila kusyen barisan kedua dilipat

3. Trenkuasa – Bag varian Extended Range, ia dikuasakan dengan bateri sebesar 60.5kWh, tidak besar sangat tapi cukup untuk pemanduan sejauh 480km bagi sekali caj mengikut standard NEDC. Tapi bagi bacaan yang lebih realistik, angka yang lebih logik ialah 420km mengikut ukuran WLTP

Tapi berdasarkan pemanduan berhemah yang dipandu secara realistik, penulis mendapat jarak pemanduan sekitar 440km, kurang daripada angka NEDC tapi lebih baik daripada angka WLTP. Ia adalah cukup bagus bagi sebuah kereta elektrik pada julat harga ini memandangkan banyak kereta elektrik jenama mahal sukar untuk mendapat angka ini

Secara purata, BYD Atto 3 boleh dipandu sejauh 7.3km bagi setiap 1kWh. Kalau anda mengecaj kereta ini di rumah dengan dengan kadar RM 0.516 bagi setiap 1kWH, kos perjalanan anda hanyalah RM 0.07 sen bagi setiap 1km. Murah ke mahal?

Yang mahal ialah ketika anda mengecaj ketika menggunakan DC Fast Charging yang biasa disediakan di R&R lebuh raya, ia sangat berguna ketika anda perlu menngejar masa dan memerlukan pengecasan pantas dimana anda boleh mengecaj dari 0-80% dalam masa 45 minit.

Jika dicaj di rumah dengan menggunakan sistem 7kWh anda memerlukan masa 6.5 jam untuk penuh dari 0-100%, sesuai bagi pemilik yang gemar dengan teknik overnight charging. Tapi semasa memandu uji Atto 3, penulis hanya menggunakan pengecaj plug 3 pin sahaja atau lebih dikenali dengan nama granny charger

Apa yang menarik ialah sistem pengecaj BYD mampu menghasilkan sekitar 1.8kWh berbanding dengan dengan jenama lain yang hanya mampu menghasilkan 1kWh sahaja. Jadi penulis tidak perlu menggunakan sistem pengecasan awam untuk mengecas BYD Atto 3 ini

Pecutan Atto 3 dari 0-100km/jam adalah sekitar 7.3 saat sahaja dengan halaju tertinggi mencapai 170km/jam. Jika anda rajin, anda boleh buka bahagian depan bagi melihat ruangan depan yang dipasang dengan satu modul motor elektrik

Modul ii mengandungi Vehicle Control Unit, Battery Management System, Motor Control Unit, Power Distribution Unit, DC-DC Controller, On Board Charger, motor elektrik dan gear tunggal. Paling menarik ialah semua komponen ini dihasilkan sendiri oleh BYD tanpa memerlukan bantuan daripada vendor

4. Vehicle to Load – bagi pembaca yang ingin membeli sebuah kereta elektrik, pastikan kereta baru anda dilengkapi dengan ciri Vehicle To Load atau singkatannya ialah V2L. Anda boleh jadikan Atto 3 sebagai powerbank yang besar untuk membekalkan kuasa elektrik pada perkakasan elektrik sekiranya rumah anda mengalami keputusan bekalan tenaga

5. Pengalaman Pemanduan- sama seperti kereta elektrik yang lain, pecutan yang dihasilkan oleh BYD Atto 3 cukup bertenaga sama seperti sebuah kereta 2000cc dengan enjin turbo. Tapi sayangnya ia hanya menggunakan tayar Atlas Batman yang tidak cukup menggigit dari keadaan statik.

Pada kebanyakan masa tayar akan menjadi “berkokok” atau menyebabkan tayar “spin”, dan ia keadaan yang anda tidak suka jika anda baru sahaja keluar dari simpang atau selekoh dan memerlukan anda menekan pedal dengan kuat bagi menghasilkan pecutan pantas

Bagi kumpulan BYD Atto 3 yang baru, tayar ini telah digantikan dengan Continental ECO Contact Q. Brek regenratif boleh disetkan kepada 2 tetapan, samaada Standard ataupun High dimana dalam keadaan High kuasa membrek menjadi sedikit kuat

Terdapat 3 mode pemanduan yang diberikan samaada ECO, Power ataupun Normal. Bagi pemanduan yang memerlukan jarak perjalanan, penulis akan menetapkan mode kepada ECO manakala brek regeneratif ditetapkan pada High.

Jika anda perlukan pecutan, jangan segan untuk tukar mode kepada POWER tapi pastikan anda tahu dimana lokasi pengecasan pantas disediakan sekiranya anda memandu jarak jauh. Stering boleh ditetapkan samaada Normal ataupun Sport, tapi hanya sedikit sahaja perbezaan yang boleh dirasai

BYD Atto 3 menggunakan suspensi MultiLink di bahagian belakang, menawarkan karekter pemanduan yang sporti sekiranya anda memandu secara agresif di selekoh. Bahagian belakang akan menurut arahan stering dengan akur tanpa sebarang masalah

Tapi pada masa yang sama penulis rasakan tetapan penyerap hentak yang digunakan adalah terlalu lembut, amat bagus sekiranya anda memandu di lebuhraya sepanjang masa. Tapi sekiranya anda memandu di jalan persekutuan yang tidak rata untuk satu tempoh lama, ia akan menjadi kurang seronok kerana cesi akan mula beralun walaupun pada mulanya ia amat selesa

Pada hemat penulis, alangkah baiknya jika penyerap hentak dapat dikeraskan sebanyak 20% daripada kekerasan asal. Itulah satu-satunya kelemahan yang penulis boleh tunjukkan dan anda perlu terima kelemahan ini dengan hati terbuka. Tapi sekiranya anda tidak sensitif seperti penulis maka ia bukanlah isu besar

6. Aspek keselamatan -BYD Atto mendapat penarafan EURO NCAP 5 bintang dengan 6 beg udara, sistem ADAS merangkumi amaran pra-perlanggaran, brek AEB, sistem amaran titik buta dan sistem amaran yang memberi amaran perlanggaran dari belakang sewaktu anda membuka pintu. Ia boleh mengesan pejalan kaki, basikal dan juga kereta.

BYD Atto 3 juga menawarkan 3 poin ISOFIX bagi pemasangan kerusi bayi. Tempat duduk di depan juga menawarkan ciri nyahaktif beg udara ketika pemasangan kerusi bayi. Mantap juga kan.

BYD Atto 3 pembelian terbaik?

Kalau penulis memerlukan sebuah kereta elektrik dengan bajet sekitar RM 150,000 – RM 170,000 maka boleh dikatakan BYD Atto 3 adalah pilihan yang terbaik. BYD menghasilkan sendiri kebanyakan komponen yang diperlukan menjadikan mereka sebagai pakar dalam menghasilkan kereta elektrik

BYD juga merancang untuk membuka 40 pusat 3S di seluruh negara, lengkap dengan fasliti pusat pengecasan. Bayangkan sat hari nanti anda hanya perlu singgah ke mana-mana pusat servis BYD terdekat dengan destinasi anda untuk mengecas. Ia adalah kereta elektrik pilihan penulis dengan tawaran teknologi, harga serta rekaan yang moden

Google ads
Back to top button