
TEKSI ELEKTRIK BYD E6 BAKAL BUAT KEMUNCULAN DI LANGKAWI TAHUN 2023
Mysuri Biz Technologies mempamerkan satu lagi kenderaan elektrik yang menyertai program TeksiKu EV, iaitu BYD e6 MPV lima tempat duduk, pada Pameran & Persidangan Produk Eko dan Greentech Antarabangsa 2022.
Pada Ogos lalu, Mysuri mengumumkan kerjasama dengan Tenaga Nasional (TNB) untuk memulakan operasi teksi EV di Malaysia pada November.
BYD e6 akan dijual di Malaysia melalui Sime Darby Motors (SDM). Syarikat itu menjangkakan 700 unit MG5 akan dibawa masuk untuk membentuk sebahagian besar fleet EV miliknya.

Program percubaan teksi EV itu akan dimulakan di Langkawi terlebih dahulu, sebelum dikembangkan ke Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor dalam masa terdekat. Di Langkawi, MySuri akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di mana MySuri akan menggantikan beberapa teksi-teksi lama dengan teksi elektrik baharu ini.
Bagi pemandu teksi yang ingin menukar kepada EV, ia akan dikendalikan oleh koperasi Koperasi Jurupandu TeksiKu. Individu yang berminat dengan program ini perlu membayar RM20 untuk kos pendaftaran dan melanggan syer minimum RM250 dan ke atas.
Dianggarkan bahawa teksi EV akan lebih murah untuk dioperasi setiap bulan. Pengecasan EV hanya menelan kos RM10 sehari (RM300 sebulan), jauh lebih rendah berbanding mengisi minyak (RM50 sehari, atau RM1,500 sebulan). Ini tidak termasuk kos servis teksi berenjin petrol.
Ini membantu mengimbangi kadar sewa yang lebih tinggi untuk teksi EV iaitu RM80 sehari (RM2,400 sebulan) berbanding teksi biasa (RM37 sehari atau RM1,110 sebulan).
BYD e6 menampilkan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade BYD berkapasiti 71.7 kWj yang mampu menjana kuasa 94hp atau 70kW dan tork 180Nm, selain boleh mencapai kelajuan tertinggi sehingga 130km/j.
Dengan pengecasan penuh, anggaran jarak pemanduan e6 adalah 450 km mengikut kitaran WLTP. Untuk pengecasan, ia menyokong input AC maksimum (sambungan Type 2) sehingga 40 kW serta pengecasan pantas DC (sambungan CCS2) pada 60 kW (1.5 jam untuk pengecasan penuh).
Sebagai sebahagian daripada kerjasama kedua-dua syarikat, TNB menyediakan sokongan infrastruktur pengecasan dalam domain awam. Manakala Mysuri akan melaksanakan rangkaian pengecas bagi membolehkan pemandu mengecas semula kenderaan mereka, termasuk di lokasi utama seperti lapangan terbang.
80 peratus daripada stesen pengecas akan menggunakan unit AC 22 kW. Selebihnya adalah pengecas pantas DC 60 kW.
Selain Lembah Klang, terdapat pusat pengecasan yang dikendalikan oleh Mysuri di bandar seperti Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang. Ia boleh diakses oleh pengguna melalui aplikasi MyCaj.
Perkhidmatan teksi EV boleh diakses melalui aplikasi Alladin MY kelak yang turut menawarkan perkhidmatan lain seperti penghantaran makanan dan logistik.