Buletin

CHINA LANCAR TEKSI TANPA PEMANDU

Buat pertama kali dalam sejarah, rakyat China sekarang berpeluang merasai pengalaman menaiki teksi tanpa pemandu, lapor CNN.  

Perkhidmatan itu diperkenalkan oleh Baidu (BIDU) dan syarikat permulaan pemanduan autonomi, Pony.ai yang mengumumkan pihak mereka berjaya memperoleh permit pertama untuk menyediakan robotaxi kepada orang ramai. 

Permit tersebut membenarkan pihak pengendali tidak menyediakan pemandu di dalam teksi. 

Perkhidmatan itu diperkenalkan di Beijing, Khamis lalu, yang membolehkan penumpang menghubungi teksi menggunakan aplikasi syarikat itu semasa waktu siang. 

Buat masa ini, setiap syarikat hanya dibenarkan menjalankan operasi teksi sekitar 23 meter persegi dan mereka perlu meletakkan operator di tempat duduk penumpang hadapan untuk mengambil alih sekiranya berlaku kecemasan. 

Program tersebut ditawarkan secara percuma kepada penumpang buat masa ini. 

Pengumuman itu menandakan langkah terkedepan dalam teknologi pandu sendiri menerusi pasaran kereta terbesar di dunia.

Baidu terkenal dengan pemilikan kenderaan pemanduan autonomi terbesar di China. 

Pihaknya akan memulakan operasi tersebut dengan 10 kenderaan dan dijangka 30 lagi kenderaan akan ditambah.

Pony.ai pula adalah sebuah syarikat permulaan yang berkembang pesat dan diasaskan oleh bekas jurutera Baidu di Fremont, California. 

Pihaknya memaklumkan seramai 300,000 penduduk di Bejing akan dapat mencuba pengalaman baharu itu. 

Syarikat itu disokong oleh pembuat kereta termasuk jenama Toyota. – UTUSAN

Google ads
Back to top button