
POLESTAR 3 – SUV ELEKTRIK YANG HENSEM
Polestar kini bukan lagi subjenama yang memfokuskan kepada peningkatan prestasi kereta Volvo, tapi sebaliknya sudah menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik.
Selepas kehadiran model coupe Polestar 1 dan sedan tinggi Polestar 2, Polestar kini melancarkan SUV elektrik pertama, diberikan nama Polestar 3.

SUV ini membawakan elemen rekaan yang banyak dipinjamkan daripada adik-beradiknya, namun dengan pendekatan yang lebih moden.
Tidak dilupakan, elemen lampu DRL Thor’s Hammer yang menjadi identiti bukan sahaja kepada Volvo, malah jenama Polestar itu sendiri.
Garis bumbung pula dicipta lebih melandai ke belakang, memberikan rupa paras seakan sebuah SUV Coupe yang dipadankan dengan rim 21 dan 22 inci.
Terima kasih kepada rekaan yang aerodinamik itu, Polestar 3 mampu menawarkan kadar pekali seretan serendah 0.29.

Polestar 3 menggunapakai senibina elektrik 400 voltan yang menempatkan pek bateri 111.0 kWh dan dua motor elektrik (480 hp/840 Nm), di mana ia mampu mencapai jarak sejauh 482 km dengan menggunakan pengecasan pantas DC 250 kW untuk tempoh 30 minit sahaja (10-80 peratus kapasiti bateri).
Selain menampilkan ciri pengecasan berbalik, Polestar 3 turut dilengkapi dengan pam haba mekanikal untuk memastikan operasi bateri pada tahap optimum.
Polestar menawarkan pakej Performance di mana angka kuasa kuda itu tadi boleh ditingkatkan kepada 517 hp dan 910 Nm, rim 22 inci dengan tayar Pirelli P Zero, dan prestasi pecutan 0-100 km/j sepantas 4.5 saat.
Sayang sekali, ia hanya mampu mencapai jarak operasi sejauh 435 km sahaja.

Ruang kabin didatangkan dengan skrin sentuh bersaiz 14.5 inci dengan sistem operasi Polestar Android Automotive, serta ciri terbina seperti Google Maps, bantuan suara, kemaskini over-the-air, serta fungsi Apple CarPlay nirwayar untuk para pengguna iPhone.
Terdapat juga pakej tambahan seperti Plus pack yang menambah sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara, pintu tutup lembut, pemanas roda stereng dan tempat duduk belakang, serta rim 22 inci.
Manakala Pilot pack pula menambah ciri keselamatan aktif termasuklah Pilot Assist (kawalan jelajah adaptif), bantuan parkir dan paparan head-up.
Buat masa ini, Polestar hanya menawarkan SUV elektrik 3 ini dengan konfigurasi dua motor elektrik, dengan harga jualan bermula dari $85,300 (RM399,886), tidak termasuk pakej Performance bernilai $6,000 (RM28,128).









