Buletin

SINGAPURA BAKAL HARAMKAN PENDAFTARAN KERETA DAN TEKSI DIESEL MULAI TAHUN 2025

Dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan kenderaan yang lebih bersih, kereta dan teksi berenjin diesel tidak lagi boleh didaftarkan di Singapura bermula tahun 2025. 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu perbahasan mengenai pelan kelestarian kerajaan republik berkenaan.

Ia merupakan lima tahun lebih awal berbanding sasaran asal untuk Singapura mempunyai semua kenderaan baharunya menggunakan ‘tenaga bersih’ menjelang tahun 2030. 

Ong memberitahu kenderaan di Singapura mengeluarkan sekira 6.4 juta tan karbon dioksida (CO2) setahun. Sekiranya semua kennderaan ringan termasuk kereta dan teksi menggunakan motor elektrik, jumlah keseluruhan emisi karbon mampu dikurangkan menjadi 1.5 hingga dua tan setahun. 

“Ini merupakan pengurangan yang sebanyak 4 peratus daripada emisi keseluruhan negara, tetapi ia tidak signifikan. Jadi pengharaman pendaftaran kereta dan teksi berenjin diesel baharu akan dapat membantu mengurangkan lagi emisi kerana enjin berkenaan lebih mencemarkan alam sekitar,” kata Ong. 

Di Singapura, enjin diesel biasanya digunakan oleh lori dan bas. Model diesel melibatkan kereta penumpang hanya 2.9 peratus daripada populasi Singapura yang seramai 634,042 orang penduduk. Sebelum ini, teksi biasanya dikuasakan oleh enjin diesel, tetapi lebih separuh daripadanya telah beralih kepada model petrol hibrid. 

Sehingga akhir tahun 2020, hanya 41.5 peratus daripada 15,678 buah teksi di Singapura menggunakan enjin diesel. Sebagai perbandingan, sebanyak 95.8 peratus daripada 140,783 lori dan 99.4 peratus bas dikuasakan oleh enjin diesel di sana. 

Skim Emisi Kenderaan Komersial baharu yang bakal dimulakan bulan depan juga direka untuk memujuk pemilik kenderaan komersial ringan yang mewakili 68.9 peratus lori supaya bertukar kepada enjin lebih bersih. – SGCarMart 

Google ads
Back to top button