
BYD SONG PLUS EV TERSELAMAT SELEPAS DIPANAH PETIR TIGA KALI BERTURUT-TURUT
Sebuah BYD Song Plus EV melalui pengalaman luar biasa apabila dipanah petir tiga kali dalam tempoh beberapa saat ketika berada di kawasan rehat Tieshan, Beihai, Guangxi.
Rakaman dashcam kenderaan berhampiran memaparkan detik dramatik itu, dengan kilauan cahaya dan arka elektrik jelas kelihatan setiap kali petir mengenai bahagian bumbung kereta berkenaan.
Walaupun menerima hentaman elektrik yang dahsyat, pemandu berada di dalam kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Lebih mengagumkan, sistem utama “tiga elektrik” iaitu bateri kuasa, unit kawalan elektrik dan motor didapati masih berfungsi seperti biasa.

Pemeriksaan menyeluruh oleh juruteknik bertauliah, seperti dilaporkan media China Sanyan Tech, mengesahkan tiada kesan litar pintas pada komponen teras EV itu.
Hanya dua titik kesan panahan dikesan di bahagian bumbung, manakala bahagian luaran lain kekal tanpa kerosakan.
Menurut pakar, tubuh kenderaan logam tertutup berfungsi seperti “sangkar Faraday”, mengalirkan arus elektrik ke tanah tanpa membahayakan penumpang di dalam kerana mereka berada pada potensi elektrik yang sama dengan badan kenderaan.
Pakar turut menasihatkan supaya penumpang tidak segera keluar selepas kenderaan dipanah petir, sebaliknya menunggu bantuan profesional.

Jika berada dalam ribut petir, matikan semua peranti elektronik termasuk enjin dan sistem audio, tarik masuk antena, serta pastikan semua tingkap ditutup rapat.
Penumpang disarankan kekal di dalam kereta sekurang-kurangnya 30 minit selepas dentuman guruh terakhir sebelum keluar, kecuali terdapat kebakaran atau ancaman nyawa segera.
Sebagai rekod, BYD Song Plus merupakan model kereta eksport nombor satu dari China bagi separuh pertama tahun ini.
- BACA: KIA EV2 GT 2026 – DARI 0 KE 100 KM/J DALAM 5 SAAT, JARAK 435KM SEKALI CAJ!
- BACA: SEIKO SPEEDTIMER EDISI TERHAD – NOSTALGIA KEMENANGAN DATSUN 240Z SAFARI RALLY 1971
- BACA: KTM 160 DUKE SERBA BAHARU DIUMUMKAN – 18.7HP, 15.5NM
- BACA: PANDU UJI: MG S5 EV. MASUK DUSUN DURIAN BOLEH, LAYAN KARAK PUN BOLEH



