
KEJUARAAN VIOS CHALLENGE MASIH TERBUKA, SEGALANYA DITENTUKAN JANUARI DEPAN
Pertarungan kejuaraan Toyota GAZOO Racing Malaysia VIOS Challenge semakin sengit apabila Pusingan 3 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu lalu menyaksikan saingan rapat dalam ketiga-tiga kelas perlumbaan.
Dengan pusingan akhir dijadualkan Januari depan, kedudukan juara keseluruhan masih terbuka luas.
Perlumbaan kedua hujung minggu itu, yang menawarkan mata berganda, berlangsung selama sejam di litar penuh 5.543km dan menyajikan aksi bertenaga dari mula hingga bendera penamat.
Daripada 37 pelumba yang berdaftar, hanya 35 memulakan perlumbaan selepas Eddie Lew (Laser Motor Racing) menarik diri akibat kerosakan kereta di Perlumbaan 1, manakala Justin Toh (BAE Racing by ES Yang) disingkirkan daripada saingan.

Super Sporting Class menyaksikan Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) mempamerkan tunggangan berdisiplin walaupun diasak hebat, menamatkan perlumbaan di hadapan pencabar rapatnya, Freddie Ang (Telagamas Toyota).
Tempat ketiga milik pelumba India, Aman Nagdev (Axle Sports). Pendatang baharu, Najiy Ayyad (Modern Racing Team) sempat mendahului beberapa pusingan sebelum terpaksa masuk ke pit untuk pemeriksaan teknikal, sekali gus memberi ruang kepada Cheah, Ang dan Aman berebut kedudukan.
Dua insiden kereta keselamatan di penghujung perlumbaan memadam sebarang jurang yang ada, memaksa pelumba memecut habis-habisan ke garisan penamat.
Cheah, yang membawa pemberat tambahan 30kg, memuji pasukannya atas persediaan kereta yang mantap walaupun sedikit perlahan di laluan lurus. Kemenangan ini meletakkannya kembali di tangga teratas kejuaraan, namun dia mengakui beban 50kg yang perlu dibawa di pusingan akhir bakal menjadi cabaran besar.

Dalam Sporting Class, juara Rookie Class musim lalu, Adam Mikail (G-Mart Motorsport), bangkit daripada kedudukan belakang akibat kegagalan menamatkan Perlumbaan 1 untuk meraih kemenangan. Dato’ Dr Ken Foo (Kulim Topwheels) naik ke tempat kedua selepas Sharique Zulqarnain (FIA Boulevard Racing) dibatalkan penyertaannya kerana gagal melepasi pemeriksaan berat kereta selepas perlumbaan.
Tempat ketiga diambil oleh pelumba Thailand, Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52).
Adam mengakui peluangnya untuk memburu gelaran musim ini agak tipis berikutan keputusan sebelum ini, namun berjanji akan terus berusaha dalam baki dua perlumbaan terakhir.
Bagi Rookie Class, kemenangan menjadi milik Ian James, diikuti Justin Rahul Dev dan Harkiesh Geeva.
Harkiesh yang mendahului di awal perlumbaan terlibat insiden bersama beberapa pelumba lain, termasuk Aydan Khaliq dan Genevieve Ooi, menyebabkan tayar pancit serta kerosakan bampar. Walaupun ketinggalan satu pusingan, ketiga-tiga mereka kembali ke trek selepas pembaikan di pit.
Ian menyifatkan keretanya berada dalam keadaan terbaik, namun isu pengurusan tayar akibat cuaca panas menyebabkan masalah understeer.
Dia juga meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat bersaing rapat dengan rakan sekelasnya yang terlibat kemalangan.
Walaupun diuji cabaran awal, pelumba muda ini menunjukkan semangat juang tinggi, seiring dengan falsafah Toyota Move Your World yang memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus mengejar impian dan mengatasi halangan.
Setiap pusingan menjadi pengalaman berharga dan setiap cabaran di trek menjadi bahan bakar untuk perlumbaan seterusnya.
- BACA: BYD SONG PLUS EV TERSELAMAT SELEPAS DIPANAH PETIR TIGA KALI BERTURUT-TURUT
- BACA: KIA EV2 GT 2026 – DARI 0 KE 100 KM/J DALAM 5 SAAT, JARAK 435KM SEKALI CAJ!
- BACA: SEIKO SPEEDTIMER EDISI TERHAD – NOSTALGIA KEMENANGAN DATSUN 240Z SAFARI RALLY 1971
- BACA: KTM 160 DUKE SERBA BAHARU DIUMUMKAN – 18.7HP, 15.5NM


