
CAMARO TRANS AM UNTUK DIJUAL – THROWBACK KE ZAMAN PONTIAC TRANS AM KLASIK
Beberapa tahun yang lalu, sebuah syarikat digelar sebagai Trans Am Depot membuat inisiatif modifikasi terhadap Chevrolet Camaro yang unik, dengan tidak kurang daripada 15 contoh Camaro SS Trans Am Hurst Edition yang dihasilkan.
Modifikasi ini mengambil inspirasi daripada model klasik Pontiac Trans Am, dan anda boleh lihat sendiri beberapa elemen Trans Am dipasangkan dengan baik pada model Chevrolet Camaro.
Seperti contoh, panel luaran yang dihasilkan khusus mengikut rupa paras Trans Am seperti bampar depan, gril hadapan berasingan, lampu kabus, serta lampu utama Angel Eye berwarna jingga.

Tema Trans Am diteruskan dengan hud depan yang unik, diikuti dengan rim berwarna emas yang dibaluti tayar Goodyear Eagle F1, dan gugusan lampu belakang yang mengingatkan kita kepada model klasik Pontiac itu.
Model Trans Am moden ini dikuasakan oleh nadi V8 6.2 liter dengan unit supercharger yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 650 hp, dipadankan dengan transmisi manual (ya benar, manual bro!) yang memacu roda belakang.
Kemasan ruang kabin turut diserikan dengan upholsteri kulit jingga dan hitam pada tempat duduk, papan pemuka, dan juga panel pintu, serta aksen gentian karbon di sesetengah tempat. – Carscoops





