BUKU TEMPAHAN MUSTANG MACH-E DI AMERIKA TELAH DITUTUP. LAKU SANGAT NI
Berita buruk buat para pengguna yang mahukan sebuah kenderaan elektrik berjenama Ford Mustang Mach-E di Amerika Syarikat.
Ini kerana, berdasarkan laporan daripada Inside EVs, tempahan bagi model crossover elektrik tersebut kini telah pun ditutup secara rasmi untuk model tahun 2022 disebabkan permintaan yang terlalu tinggi.
Malah, Ford turut mengemaskini hal tersebut di dalam laman web rasmi yang menyatakan stok terhad mungkin tersedia di beberapa pengedar yang terpilih.
Biarpun Ford menyebut alasan permintaan yang terlalu tinggi, hakikat sebenarnya masih lagi berpunca daripada krisis kekurangan cip semikonduktor yang masih lagi belum reda, sehinggakan produksi Mustang Mach-E terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Malah, beberapa minggu sebelum ini, Ford mengumumkan kenaikan harga jualan di pasaran UK sebanyak £6,200 (RM34,306) untuk model Standard Range RWD dengan alasan peningkatan kos bahan mentah.
Namun begitu, Ford merancang untuk menggandakan produksi Mustang Mach-E di Mexico pada tahun 2023 selepas membuat keputusan untuk tidak memasang model SUV Explorer dan Lincoln Aviator di sana. – Inside EVs