CARA MENGATASI KNOCKING
Masalah knocking atau ketukan pada enjin yang terjadi merupakan masalah yang sinonim dengan enjin pembakaran dalam. Tidak kira sama ada anda menggunakan enjin suntikan EFI, suntikan bahan api terus, turbocaj ataupun natural aspirated. Semuanya bergantung pada kebijaksanaan kejuruteraan pengeluar untuk meminimakan masalah ketukan yang berlaku pada enjin.
Jadi kami senaraikan beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan berlakunya risiko fenomena ketukan ini pada enjin. Semua langkah yang kami senaraikan ini lebih kepada langkah pencegahan dan berdasarkan pengalaman pemanduan.
1. Sentiasa guna minyak enjin yang dicadangkan oleh pengeluar – minyak enjin yang dicadangkan oleh pengeluar OEM biasanya telah diuji dan memenuhi keperluan peliciran enjin. Masalah mula timbul apabila pemilik mula melakukan servis di luar pusat servis yang disajikan dengan pelbagai minyak enjin yang didakwa digunakan oleh kapal angkasa namun dijual pada harga murah seperti minyak urut gamat.
Masalah mula timbul apabila minyak enjin tadi tidak memberi perlindungan yang cukup pada suhu yang tinggi terutama ketika beroperasi pada hari yang panas dan memandu di kawasan berbukit di mana enjin perlu bekerja dalam keadaan maksima. Haba yang terhasil perlu diserap oleh minyak enjin, diedarkan dan disejukkan melalui sistem.
Namun kalau minyak yang digunakan ialah minyak kitar semula atau dibuat dari based oil yang gred rendah, ia bukan sahaja gagal menyerap haba dengan baik, malah ia akan rosak apabila terdedah pada suhu yang tinggi. Sudah tentu suhu yang tinggi akan memberi risiko terjadinya masalah ketukan pada enjin.
2. Pastikan enjin bersih dari enapan karbon – apabila sistem dual – VVTi digunakan, gas ekzos akan dimasukkan balik ke dalam kebuk pembakaran untuk menurunkan suhu sistem dan juga mengurangkan volumetric efficiency enjin. Namun gas ekzos yang terdiri daripada sebatian hidrokarbon juga boleh membuatkan fenomena enapan karbon berlaku.
Enapan ini akan terbina pada injap ekzos, injap kemasukan, sekitar palam pencucuh, kebuk pembakaran dan juga piston. Enapan karbon ini bersifat penebat haba yang akan menjadikan suhu kebuk pembakaran semakin tinggi dan menyebabkan fenomena knocking mudah berlaku. Tambahan pula enapan karbon ini juga bertindak sebagai hot spot yang akan memulakan fenomena knocking.
Satu cara untuk membersihkan enjin dari enapan karbon ini ialah dengan menggunakan bahan kimia yang dikenali dengan nama injector cleaner. Biasanya penggunaan sebatian ini dicadangkan bagi setiap 5000km atau 10,000km. Cara penggunaannya agak mudah, masukkan sahaja sebotol injector cleaner ini dalam tangki petrol dan biarkan ia mencuci sebatian karbon semasa enjin beroperasi. Walaupun ia tidaklah 100% berkesan, namun sedikit sebanyak ia mampu membersihkan enjin dari enapan karbon
3. Pastikan sistem penyejukan berfungsi – fenomena ketukan terjadi apabila suhu kebuk pembakaran menjadi terlalu panas. Jadi anda perlu pastikan sistem penyejukan enjin bekerja dalam keadaan optimum termasuklah isipadu cecair penyejuk mencukupi dan ditukar mengikut sela masa yang dicadangkan.
Pastikan kipas radiator, pam air, hos, termostat dan sirip radiator berada dalam keadaan baik sepanjang masa
4. Periksa knock sensor – pastikan sensor ini perlu diperiksa dan ditukar sekiranya rosak. Sensor ini berfungsi dengan mengesan getaran yang dihasilkan dalam frekuensi tertentu. Apabila ketukan berlaku, sensor ini akan menghantar isyarat pada ECU untuk melambatkan masa pencucuhan.
Sekiranya sensor ini rosak, ia akan menyebabkan lampu “check engine” akan menyala. Cara yang mudah sambungkan saja ECU enjin pada sistem OBD untuk mengesan sebarang kerosakan dengan tepat
5. Palam pencucuh – adakah anda perasan palam pencucuh enjin memiliki tip yang semakin runcing dan dibuat dengan material yang berbeza? Enjin yang menggunakan nisbah mampatan tinggi biasanya menggunakan palam pencucuh runcing dan dibuat daripada aloi yang berbeza.
Jadi pastikan semasa proses penukaran dibuat, palam pencucuh digantikan dengan palam pencucuh yang betul. Anda boleh merujuk kod palam pencucuh yang digunakan dalam buku manual yang diberikan. Atau anda dah buang buku manual tersebut bersama-sama manifesto pilihanraya?
6. Jangan ubah nisbah mampatan enjin – maksud saya apabila pembaca melakukan servis akibat kepala silinder bengkok apabila overheat, tolong la jangan buat shortcut dengan melakukan proses skimming. Jika anda memilih untuk menggunakan kaedah skimming atau bahasa pasarnya potong kepala silinder, ia akan menjejaskan nisbah mampatan enjin.
Ya proses ini lebih jimat berbanding dengan menggantikan dengan kepala silinder yang baru namun ia ada kesan negatif yang sendiri. Sebaik sahaja kepala silinder dipotong, ia akan memendekkan kebuk pembakaran dan menjadikan nisbah mampatan semakin tinggi. Bila nisbah mampatan makin tinggi, fenomena ketukan akan berlaku.
Nanti akan ada pomen jawab boleh lapik gasket. Terpulang pada anda samaada untuk percayakan pada beberapa keping gasket dan mengulangi masalah ini atau menggunakan kepala silinder baru. Duit masing – masing kan.
7. Kawal tekanan turbo – bagi enjin turbo yang sudah dipasang di kilang, pengeluar sudahpun melakukan banyak kajian kebolehupayaan (reliability test) bagi menentukan berapa tekanan turbo yang sesuai, sebaiknya jangan memandai-mandai mengubah tekanan turbo yang sudah dibuat. Melainkan anda benar-benar seorang professional dan tahu apa yang anda buat
8. Guna RON yang betul – ya akhir sekali jika semua kaedah telah digunakan dan enjin anda masih mengalami knocking, maka anda mngkin terpaksa menukar petrol anda pada RON yang lebih tinggi. Penulis juga akan menggunakan RON 97 jika perlu memandu di jalan yang berbukit seperti menuju ke Cameron Highland, Genting Highland atau menggunakan jalan Gerik-Jeli