Buletin

CASIO LANCAR RING WATCH CRW-001, HARGA RM679

Casio Computer Co., Ltd. sekali lagi mencipta sejarah dengan melancarkan Casio Ring Watch CRW-001, jam digital gaya cincin pertama syarikat itu.

Inovasi ini menggabungkan modul miniatur yang dibangunkan khas dan teknologi metalurgi terkini untuk menghasilkan reka bentuk jam digital baharu.

Jam cincin CRW-001 ini mendapat ilham daripada yubiwa pipe, produk pertama yang dihasilkan oleh Kashio Seisakujo, pendahulu kepada Casio Computer Co., Ltd.

Yubiwa pipe merupakan cincin pemegang rokok yang dicipta selepas Perang Dunia Kedua untuk membantu pengguna merokok hingga ke puntung terakhir.

Kejayaan yubiwa pipe menghasilkan keuntungan yang kemudiannya digunakan untuk membangunkan kalkulator revolusioner Casio.

Reka bentuk CRW-001 memerlukan modul jam standard yang dikecilkan sebanyak 10 kali ganda menggunakan teknik pemasangan berketumpatan tinggi.

Kejayaan ini menghasilkan jam digital yang cukup kecil untuk dipakai di jari tetapi tetap mengekalkan fungsi utama seperti penunjuk waktu, kalendar, waktu dwi, dan fungsi kronograf (stopwatch).

Dalam usaha mencipta jam bersaiz cincin sepenuhnya, Casio menggunakan teknik Metal Injection Molding (MIM) untuk membentuk bahan logam menjadi satu unit yang terdiri daripada badan jam, penutup belakang, serta cincin itu sendiri.

CRW-001 dilengkapi skrin LCD digital 6-digit yang memaparkan waktu dengan ketepatan hingga saat. Reka bentuk tiga butang pada jam ini pula membolehkan pengguna menukar fungsi dengan mudah.

Cincin ini mempunyai diameter dalaman 20mm dengan lilitan 62.8mm, sesuai untuk saiz jari 22 (US 10.5, EU U). Untuk memastikan kesesuaian bagi pelbagai saiz jari, Casio turut menyediakan dua penyelaras saiz tambahan dalam saiz 19 dan 16.

CRW-001 baharu dijual pada harga RM679, boleh didapati mulai 15 Januari 2025, 10 pagi dan seterusnya di tiga Kedai G-SHOCK terpilih – LALAPORT KL, Sunway Pyramid Mall serta IOI City Mall (Putrajaya).

Google ads
"
"
Back to top button