" "
Buletin

HONDA BAKAL PERKENALKAN SUV SAIZ PENUH MELALUI KERJASAMA DENGAN NISSAN

Honda dan Nissan, dua gergasi automotif Jepun, sedang menjalin kerjasama yang dijangka membuka laluan untuk platform bersama dan pengurangan kos.

Walaupun butiran spesifik tentang kerjasama ini masih samar, kenyataan terkini memberikan gambaran potensi yang menarik, termasuk kemungkinan Honda memperkenalkan SUV saiz penuh.

Menurut wakil Honda yang bercakap di CES, Noriya Kaihara, syarikat itu sedang mempertimbangkan untuk memasuki pasaran SUV saiz penuh.

Honda mungkin mengambil inspirasi daripada Nissan Armada, sebuah model yang popular di pasaran Amerika Syarikat.

Kaihara berkata, “Dalam jangka masa pendek, terutama di pasaran A.S., Nissan memiliki kenderaan kelas besar yang tiada dalam barisan kami. Jika kami boleh bertukar model, ini akan memberi manfaat dalam jangka pendek.”

Ini menimbulkan spekulasi bahawa Honda mungkin memperkenalkan SUV bersaiz penuh dengan strategi rebadge.

Langkah ini bakal memberi persaingan kepada model seperti Chevrolet Tahoe, GMC Yukon, Ford Expedition, Jeep Wagoneer, dan Toyota Sequoia.

Selain itu, Honda juga mungkin mempertimbangkan untuk membangunkan model mewah di bawah jenama Acura, yang boleh menyaingi SUV premium seperti Cadillac Escalade, Lincoln Navigator, serta Lexus LX.

Ketika ini, SUV terbesar Honda ialah Pilot, dengan panjang 5,077mm dan kapasiti tempat duduk untuk lapan orang. Nissan Armada, sebagai perbandingan, jauh lebih besar dengan panjang 5,324mm.

Armada juga lebih padu dari segi kuasa, dijana oleh enjin 3.5-liter V6 twin-turbo yang menghasilkan 425hp dan 699Nm.

Walaupun Kaihara memberi bayangan mengenai kemungkinan pembangunan bersama pada masa depan, fokus utama Honda kini adalah mengisi jurang dalam barisan produk mereka.

Dengan potensi kerjasama ini, Honda berpeluang memperluaskan kehadiran mereka dalam segmen SUV besar dan menarik lebih ramai pelanggan, terutama di pasaran A.S.

Google ads
Back to top button