
CHERY OMODA 5 DAN TIGGO 8 PRO RASMI DILANCARKAN UNTUK PASARAN MALAYSIA- HARGA BERMULA RM108K
Chery hari ini secara rasmi melancarkan model Chery Omoda 5 serta Tiggo 8 Pro untuk pasaran tempatan.
Chery Omoda 5 pasaran Malaysia didatangkan dalam dua varian iaitu C dan H, dengan ukuran dimensi sepanjang 4,400mm, 1,830mm (lebar), 1,585mm (tinggi) dan jarak roda 2,630mm.
Berlandaskan teknologi termaju, SUV berkenaan menampilkan bahasa reka bentuk ‘Art in Motion’ baharu yang memberikan gaya dinamik.
Dari segi penggayaan, Reka bentuk hadapan SUV ini diserlahkan gril matriks berlian dan lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk T.

Di bahagian belakang terdapat lampu belakang LED sementara bahagian sisi pula diserlahkan lagi dengan rim bersaiz 18-inci. Bagi varian H, ia hadir dengan kemasan rim garisan dwi-tona.
Di dalam kabin, ia dilengkapi instrumen digital serta skrin sentuh tengah berukuran 10.25 inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar manakala sistem bunyi pula dari Sony, enam pembesar (varian C) dan lapan pembesar suara (varian H).
Perincian lain termasuklah port USB, gear selector, brek parkir elektronik, media dial, butang untuk around-view monitor, mod pemanduan serta hazard lights.

Dari aspek keselamatan, terdapat enam beg udara, kawalan pelayaran adaptif, bantuan lorong, pemantauan titik buta dan brek kecemasan autonomi.
Model Chery Omoda 5 berspesifikasi Malaysia menampilkan enjin petrol empat silinder pengecas turbo 1.5 liter, menghasilkan 156hp dan tork 230Nm. Ia dipadankan bersama continuously variable transmission (CVT) 9-kelajuan.
Untuk harga, Omoda 5 varian C dijual pada harga bermula RM108,800 sementara Omoda 5 varian H diberi tanda harga RM118,800.

CHERY TIGGO 8 PRO
Selain Chery Omoda 5, turut dilancarkan ialah model Tiggo 8 Pro. Pesaing kepada Proton X90 ini boleh dimiliki pada harga bermula RM159,800.
Tiggo 8 Pro mempunyai ukuran dimensi 4,722mm panjang, 1,860mm lebar, 1,705mm tinggi dan jarak roda pada 2,710mm.
Sebagai perbandingan dengan Proton X90, ia berukuran sepanjang 4,830mm, 1,900mm (lebar), 1,764mm (tinggi) sementara jarak roda pula 2,805mm.

Chery Tiggo 8 Pro dipadankan bersama gril hadapan berinspirasikan “galaksi”, sisipan berbentuk prisma baharu selain dikemaskan lagi dengan lambang Chery.
Tiggo 8 Pro juga dilengkapi dengan lampu lebar penuh baharu di bahagian belakang, di samping lampu brek ketiga yang disepadukan ke dalam spoiler dan diserlahkan menerusi rim bersaiz 19-inci.
Di bahagian dalam, SUV itu mendapat reka bentuk kontemporari, menampilkan skrin bercantum (intelligent curved dual screen) bersaiz 24.6-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, gril pembesar suara gaya Burmester serta lapan pembesar suara jenama Sony.
Perincian lain adalah seperti berikut:
- brek parking elektronik
- lampu ambien pelbagai warna
- tempat duduk hadapan elektrik dengan fungsi pemanasan
- penyaman udara dwi-zon auto panoramic sunroof elektronik
- pengecas telefon tanpa wayar
Dari segi kuasa, Tiggo 8 Pro dipacu oleh enjin empat silinder pengecas turbo 2.0 liter, menghamburkan kuasa 256hp, tork 390Nm dan dipadankan bersama dual-clutch transmission (DCT) 7-kelajuan.
Untuk rekod, Tiggo 8 Pro mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
Untuk keselamatan, ia turut dimuatkan dengan ADAS merangkumi fungsi seperti amaran/penyimpanan keluar lorong, pengesanan titik buta, amaran pintu terbuka, amaran lalu lintas silang belakang, kawalan pelayaran adaptif serta amaran perlanggaran hadapan dan brek automatik (AEB).
GALERI:















- BACA: TOYOTA ALPHARD DAN VELLFIRE GENERASI BAHARU KINI SEDIA UNTUK TEMPAHAN, HARGA BERMULA RM438K
- BACA: NISSAN SERENA J IMPUL SERBA BAHARU – 150HP, HARGA BERMULA RM169K
- BACA: TOYOTA BERJAYA JUAL SATU UNIT LAND CRUISER 200 SERIES DI US TAHUN INI
- BACA:PROTON LANCAR X70 1.5 TGDi PREMIUM X, HARGA BERMULA RM126K