
CIRCUIT FLORIDA – PERUMAHAN MEWAH DENGAN LITAR LUMBA SENDIRI
Circuit Florida yang terletak di antara bandar Metropolitan Tampa dan Orlando bakal mempunyai litar lumba sendiri. Ia merupakan kelab perlumbaan pertama yang lengkap dengan kondominium mewah yang boleh dibeli dan jika mampu, yuran keahlian untuk menikmati fasiliti di sini bernilai USD80,000 (RM343,840) sahaja! Itu belum termasuk yuran bulanan sebanyak USD750 lagi.

Anda boleh memilih saiz kondominium untuk dibeli jika berminat (dan berkemampuan). Unit paling kecil dinamakan Monza dan harganya bermula pada USD444,990 (RM1.9 juta daa). Tapi okey la sebab anda boleh berlumba setiap hari di litar tanpa had sepanjang tahun.
Litar ini mempunyai ketinggian yang berubah sekitar 40 kaki dan mempunyai 14 selekoh keseluruhan. Jarak lurus pula sepanjang 548m akan membolehkan anda memecut sehingga bergegar otak kalau memandu Axia standard pekak.

Direka oleh Bob Barnard, litar ini mempunyai sistem flagging automatik lengkap dengan kawasan pit dan paddock.
Circuit Florida tidak mempunyai rancangan untuk menjadi tuan rumah mana-mana acara perlumbaan professional. Ia hanya terbuka untuk ahli kelab dan sekali-sekala bakal digunakan untuk acara-acara sosial.
Namun tidak mustahil ada pasukan professional ataupun mana-mana pihak akan berminat untuk menyewanya untuk tujuan latihan dan pembangunan. Malah 22 daripada 75 unit kondomium memang dikhaskan untuk sewaan jangka pendek. Ia juga boleh disewa oleh bukan ahli kelab pada hari-hari tertentu untuk merasa pengalaman berlumba di litar. Kira macam homestay la ni.

Kalau berminat kena tempah cepat la sebab mereka cuma akan menawarkan keahlian kepada 200 individu bertuah sahaja. Ia akan dibuka kepada ahli sebaik pembinaan siap penghujung tahun ini.
Nasib baik la jauh, kalau dekat memang frust la sebab tak mampu bayar keahlian.



