
CITROEN C5 AIRCROSS BAHARU – MODEL PERDANA TERKINI UNTUK CITROEN
Citroen telah memperkenalkan generasi terbaharu model SUV kompak Citroen C5 Aircross bagi menggantikan generasi pertama yang telah pun muncul pada tahun 2017. Dengan pengenalan ini sekali gus mengangkat Citroen C5 Aircross baharu ini sebagai model perdana untuk jenama berasal dari Perancis ini.
Untuk rekod, model konsep Citroen C5 Aircross ini terlebih dahulu diperkenalkan kepada umum pada tahun lepas dengan menerima maklum balas yang positif. Kini Citroen C5 Aircross baharu ini telah menerima dimensi baharu untuk diangkat sebagai model perdana Citroen. Dengan jarak titik roda 2,784 mm, panjang 4,652 mm, tinggi 1,970 mm, dan lebar 1,650 jelas sekali generasi kedua ini lebih besar berbanding penggantinya.

Terima kasih kepada platform baharu Citroen, Stellantis STLA-Medium yang menawarkan lebih fleksibiliti dari segi dimensi untuk lebih ruang dan juga sistem pemanduan yang ideal sama untuk penggunaan hibrid atau pun elektrik sepenuhnya.
Bahagian fascia hadapan menampilkan rekaan baharu Citroen baharu, terutamanya rekaan logo Citroen yang diapit lampu utama LED Matrix serta rekaan bampar yang lebih moden dengan terdapat kemasan berwarna hitam berkilat di sisinya.

Rekaan garisan bumbung pada pilar C diturunkan sedikit bagi membolehkan aerodinamik mengambil tempat disamping memberikan lebih ruang lega kepala terhadap penumpang belakang.
Bahagian kabin menampilkan tema daripada C-Zen Lounge untuk memberikan ruang dan keselesaan kepada penumpang. Terdapat balutan busa berkualiti tinggi pada bahagian bawah papan pemuka untuk memberikan kesan sebuah sofa yang lembut dan halus seperti di rumah termasuklah juga pada panel pintu dan juga tempat duduk.

Tempat duduk yang dibangunkan berdasarkan Citroën Advanced Comfort menjamin keselesaan yang tiada banding buat penumpannya dengan penggunaan busa yang tebal malah lengkap dengan fungsi pengudaraan dan juga urutan.
Sistem suspensi Progressive Hydraulic Cushions daripada Citroen juga turut digunakan bagi memberikan keselesaan yang diperlukan ketika melewati permukaan yang tidak rata.
Pada bahagian tengah terdapat paparan skrin untuk sistem infohiburan secara menegak lengkap dengan fungsi kawalan suara Hello Citroen dan juga fungsi ChatGPT.

Trenkuasa untuk model ini menawarkan pilihan sistem hibrid yang digandingkan dengan enjin 1.2 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 145 HP secara keseluruhan.
Satu lagi pilihan adalah menggunakan teknologi plug-in hybrid yang digandingkan bersama enjin 1.6 turbo yang mana keduanya menghasilkan output maksimum sehingga 195 HP.
Pilihan untuk Citroën ë-C5 Aircross juga akan ditawarkan dengan kemampuan jarak perjalanan sehingga 680 Km yang menggunakan pek bateri 97 kWh.
BACA : CITROEN C4 BAHARU – APA PASAL DAH NAMPAK MACAM SUV PULA SEKARANG NI?