CITROEN LANCAR KERETA COMEL EDISI KHAS MY AMI TONIC
Citroen My Ami merupakan sebuah kereta elektrik yang dikategorikan di dalam kumpulan kuadrisikal – bermakna anda sebenarnya tidak memerlukan sebarang lesen memandu untuk membawa EV ini di Eropah.
Sudah banyak edisi khas diperkenalkan, dan kali ini Citroen membawakan penawaran baharu edisi khas yang dinamakan sebagai My Ami Tonic.
Penampilan luaran My Ami Tonic ini direka dan disasarkan untuk golongan yang memiliki gaya hidup aktif dan bertenaga, dimulakan dengan kombinasi warna khaki dan lemon yellow, diikuti dengan bezel lampu dan cladding plastik berwarna gelap.
Bahagian depan dan belakang membawakan rupa yang ranggi terima kasih kepada pemasangan skid plate.
Kemasan luaran disudahi dengan pemasangan rel bumbung hiasan, serta aksen khaki pada bahagian rim.
Untuk ruang dalaman pula, kelengkapan standard yang dimuatkan termasuklah cagak pemegang peranti pintar, ruang storan, jaring dan juga cangkuk (mungkin untuk gantung teh tarik ikat tepi).
Tiada sebarang perubahan dari segi kuasa, di mana My Ami Tonic masih lagi didatangkan dengan bateri 5.5 kWh yang menawarkan jarak gerak 70 km, serta motor elektrik 8 hp yang memacu roda depan.
Menurut Mathieu Wandon, ketua rekaan grafik Citroen menyifatkan My Ami Tonic sebagai sebuah ‘mainan’ yang sesuai untuk golongan berusia 14 hingga 77 tahun.
Quadrisikal ini bakal ditawarkan di beberapa buah negara termasuklah Perancis, Itali, Portugis, Belgium, UK, Greece, Morocco dan Turki.
Di Perancis, harga jualan bermula dari €8,990 (RM40,037), atau opsyen pajakan jangka panjang dengan deposit sebanyak €3,757 (RM16,732) dan bulanan serendah €34.99 (RM155.83) selama 48 bulan.