Buletin

PASANG FOG LAMP, ICE BLUE UNDANG NAHAS. JANGAN DEGIL!!!

Penggunaan lampu kabut atau ‘fog lamp’ serta mentol ‘ice blue’ untuk lampu brek belakang semakin berleluasa oleh pemilik kenderaan. Ia boleh mengundang nahas jalan raya kerana tahap silau yang tinggi berbanding lampu biasa. 

Walaupun dilarang dan pemasangan lampu berkenaan tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, masih ramai pemilik kenderaan berdegil memasangnya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata penggunaan lampu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959). 

Menurutnya, kesalahan itu ditafsirkan sebagai keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di jalan raya dan semua bahagian serta aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau memungkinkan bahaya kepada orang dalam kenderaan atau di jalan raya.

Beliau menambah, sebanyak 9,385 saman dikeluarkan bagi kesalahan sepanjang bulan Januari sehingga Jun tahun ini kerana menggunakan lampu berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 6,566 saman belum dijelaskan manakala selebihnya telah dibayar. Sepanjang tahun lepas, 16,092 saman dikeluarkan dan 9,323 saman masih belum dijelaskan.

“Justeru, pemasangan aksesori tanpa kebenaran ini adalah menyalahi undang-undang jalan raya kerana memungkinkan bahaya kepada orang di dalam kenderaan atau di jalan raya,” katanya.

Selain itu, beliau menambah kesalahan itu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan. 

Azisman menegaskan tindakan keras akan diambil jika didapati pemandu kenderaan masih ingkar dan memasang aksesori berkenaan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain. 

“Dari segi penguatkuasaan, kita bersedia dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dari segi penjualan, pemasangan dan kebenaran oleh pihak yang berwajib.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik kenderaan supaya tidak mengubah suai kenderaan mereka dengan memasang lampu berkenaan yang melanggar Vehicle Type Approval (VTA) yang diberikan kepada kenderaan tersebut,” katanya. -Bernama

Google ads
Back to top button