Buletin

POLESTAR DIHARAMKAN GUNA LOGO SELAMA 6 BULAN DI PERANCIS

Selama tiga tahun syarikat pengeluar kenderaan Citroen dan Polestar melalui proses pertikaian undang-undang berhubung penggunaan logo sehingga menyebabkan mahkamah Perancis melarang sementara penggunaan logo terbabit.

Citroen mendakwa terdapat persamaan pada logo Polestar dengan lencana double chevron dan jenama premium DS milik mereka.

Permintaan pengeluar kereta Perancis itu meminta syarikat induk Volvo memberhentikan penggunaan logo Polestar dilakukan pada tahun 2017 lagi tetapi ditolak syarikat berpangkalan di Sweden itu.

Polestar mengesahkan terdapat kes perundangan sedang berlangsung di Perancis kepada Autocar.

“Polestar tidak beroperasi di Perancis dan tiada cadangan melakukan perkara tersebut. Terdapat kes perundangan di Perancis berhubung penggunaan logo Polestar yang dimulakan oleh Citroen.

“Biarpun, tidak dapat memberi komen dengan terperinci berhubung kes berkenaan tetapi percaya pada kedudukan jenama dan logo kami.

“Kami menyedari sebagai jenama kenderaan baharu yang menarik di pasaran dengan perancangan meningkatkan profil mobility elektrik, kemungkinan mendapat perhatian daripada pembuat kenderaan yang telah lama bertapak dalam industri,” kata jurucakap syarikat itu.

Dia menambah kes berkenaan hanya melibatkan Perancis dan tidak berlaku di negara lain.

Pada mulanya, Citroen membawa kes di Pejabat Harta Intelek Eropah tetapi menemui kegagalan.

Begitupun, mahkamah Perancis menyebelahi Citroen dengan memerintahkan Polestar tidak menggunakan logo selama enam bulan bermula pada Julai 2020.

Polestar juga perlu membayar AS$177,000 (RM729,771) kepada pengeluar Perancis tersebut dan AS$82,000 (RM338,086) bagi yuran perundangan.

Pengharaman penggunaan logo selama enam bulan itu berakhir pada Januari tahun hadapan dan tidak dapat dipastikan apa yang akan berlaku selepas ia berakhir. – carscoops.

Google ads
Back to top button