EV TIDAK LAGI DIBENARKAN MASUKI LITAR DRAG AUSTRALIA – BUKAN RASIS TAPI DEMI KESELAMATAN
Pemilik-pemilik EV di Queensland, Australia kini tidak lagi dibenarkan memandu kenderaan mereka ke Willowbank Raceway Dragstrip. Operator litar tersebut baharu saja umumkan larangan sementara terhadap kesemua model EV atas alasan keselamatan jika berlaku kemalangan. Menariknya kenderaan hibrid tidak termasuk dalam larang tersebut.
Larangan tersebut berkuat kuasa serta merta mengikut tarikh surat pemberitahuan. Pemilik litar dikatakan telah merujuk kepada saranan dari Motorsport Australia, NEDRA dan pelbagai protokol kecemasan agensi berkaitan. Keputusan akhir dicapai berdasarkan risiko kemalangan melibatkan EV bukannya situasi yang mampu mereka tangani.
Malah menurut pemilik litar lagi risiko yang terpaksa ditanggung akibat perlumbaan dan ujian berkaitan EV adalah cukup tinggi menjadi punca larangan tersebut dikeluarkan.
Antara punca yang disebut dalam lanrangan ialah:
- Bateri mungkin mengeluarkan toksik dan gas beracun selepas kemalangan.
- Pasukan barisan hadapan tidak dapat memberi jaminan jika kebakaran sudah dipadamkan sepenuhnya.
- Kunci mungkin tidak boleh dibuka dari luar selepas kemalangan.
- Jika pemandu pengsan selepas kemalangan dan chasis masih hidup, keselamatan petugas kecemasan turut berada dalam bahaya.
- EV memerlukan sistem pencegah kebakaran khusus yang tidak dimiliki oleh pihak litar.
Memang ada yang buat lawak konon pemandu kereta-kereta ICE bengang sebab asyik kalah dengan EV dan macam-macam lagi. Namun ada juga yang gembira sebab sudah bosan menyaksikan perlumbaan drag EV yang kelihatan sama seperti kereta kawalan jauh.
Apa pun keputusan sudah dibuat atas dasar keselamatan. Lagi pun pakai EV kan sebab nak jimat tenaga. Tak payah la guna untuk berlumba. Lagi ada litar di AS dan UK yang sudah kenakan larangan yang sama sejak tahun lepas lagi.