Buletin

COVID 19: KOMPAUN RM1,000 TAK PAKAI PELITUP MUKA KEKAL.MASIH BOLEH BUAT RAYUAN

Tiada keperluan untuk mengurangkan kadar kompaun RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka kerana ia boleh dikurangkan melalui budi bicara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setiap denda dan hukuman yang dikenakan tidak kira mengikut akta mana sekali pun masih boleh membuat rayuan.

“Setiap denda ini tidak kiralah dalam mahkamah dan sebagainya, cuma meletakkan denda maksimum, mereka (orang yang didenda) masih lagi boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan.

“Dalam mahkamah hakim mempunyai budi bicara untuk mengurangkan hukuman begitu juga dengan kompaun RM1,000 yang dikenakan. Mereka (orang yang didenda) boleh merayu untuk mendapatkan pengurangan,” katanya.

Justeru katanya, untuk meminda akta itu juga memerlukan masa dan perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat.

“Saya rasa tidak perlu kita meminda akta berkenaan kerana ia memerlukan masa sedangkan kes (COVID-19) sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan.

“Kalau mahu meminda ia akan mengambil masa, berapa lama kita mahu tunggu, jadi kita teruskan apa yang sudah ada,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button