Buletin

PANDU UJI KENDERAAN, MB KEDAH AKAN DIKOMPAUN

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor akan dikenakan kompaun dalam masa terdekat selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji sebuah kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam, Georgetown, Pulau Pinang bulan lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima arahan untuk mengeluarkan kompaun ke atas Muhammad Sanusi.

“Pengesahan arahan telah diterima dan akan disampaikan kepada Pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat.

“Maklumat lanjut akan diberikan setelah arahan tersebut dipanjangkan kepada Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kenyataan rasmi daripada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK)Pulau Pinang akan dikeluarkan setelah proses penyerahan dilakukan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, kertas siasatan kes tersebut dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Siasatan itu ekoran laporan polis dibuat seorang individu selepas gambar yang mendakwa beberapa individu termasuk Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tersebar di dalam media sosial.

Kejadian itu didakwa berlaku pukul 6.30 petang 5 Jun lalu yang mana Muhammad Sanusi dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Selain Muhammad Sanusi, polis turut mengambil keterangan beberapa individu lain bagi membantu siasatan iaitu pengadu termasuk seorang wanita yang merakam video di lokasi kejadian; dua kakitangan syarikat jualan kereta, seorang pemandu serta pengiring kepada Menteri Besar Kedah berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Google ads
Back to top button