
TIDAK PEDULI RISIKO JANGKITAN COVID-19, 250K PENUNGGANG MOTOSIKAL BERKUMPUL DI STURGIS
Tanpa menghiraukan risiko jangkitan wabak COVID-19, dianggarkan sekitar 250,000 orang dari seluruh Amerika Syarikat menghadiri Perhimpunan Motosikal Sturgis 2020 kali ke-80.
Menurut laporan portal berita tempatan Arus Leader, acara yang bermula pada Sabtu lalu di pekan kecil itu mungkin menjadi perhimpunan motosikal terbesar sejak pandemik COVID-19 bermula.
Ia akan berlangsung selama 10 hari di daerah Meade, lokasi terletaknya pekan Sturgis. Pegawai kesihatan memberitahu Sturgis hanya mencatatkan satu kematian akibat COVID-19 setakat ini.
Bagaimanapun, sebahagian penunggang motosikal yang menghadiri perhimpunan tersebut dipercayai datang dari negeri-negeri AS yang jauh. Orang ramai tidak diwajibkan memakai pelitup muka. Hanya sejumlah kecil yang mengambil inisiatif memakainya sepanjang acara itu.
Pekan Sturgis dipenuhi dengan motosikal berkuasa tinggi dan bar-bar dikunjungi oleh penunggang. Jumlah pengunjung yang hadir dikatakan jauh lebih ramai berbanding penduduk Sturgis, iaitu hanya kira-kira 6,000 orang sahaja.
Dalam acara sama sebelum ini, ratusan ribu penunggang motosikal menghadiri perhimpunan berkenaan.
Gabenor negeri Dakota Selatan, Kristi Noem yang merupakan anggota parti Republikan dan penyokong kuat Presiden AS, Donald Trump menyambut baik kedatangan para penunggang motosikal itu.
“Kami sangat teruja kerana pengunjung acara dari negeri lain akan dapat melihat apa yang negeri kami mampu tawarkan kepada mereka,” kata Noem menerusi satu kenyataan di laman Twitter. – AFP