Buletin

COVID-19: LANGGAR SOP DENDA RM10,000 MULAI 11 MAC DEPAN

Individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Warta itu menyebut bahawa suatu Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bahawasanya disebabkan oleh suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19), suatu Proklamasi Darurat telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 11 Jan 2021.

Ia menyatakan yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dinamakan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Ordinan itu turut merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24 dan menyatakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta itu, yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda RM100,000.

Ia juga menyebut bahawa orang yang diberi kuasa boleh mengarahkan pesakit COVID-19 atau kontak rapat untuk memakai peranti pengesanan seperti gelang tangan atau apa-apa peranti lain yang diberikan pegawai yang diberi kuasa.

“Mana-Mana orang yang memusnahkan, merosakkan, menghilangkan atau mengubah peranti pengesanan itu melakukan suatu kesalahan,” menurut ordinan itu.

Selain itu, bagi syarikat yang melanggar SOP tersebut, wakilnya boleh didakwa di mahkamah. – Bernama

Google ads
Back to top button