
BATAL PENERBANGAN SEBAB COVID-19. SYARIKAT PENERBANGAN PERLU BAYAR BALIK PENGGUNA
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berpendirian bahawa syarikat penerbangan perlu terus berusaha memenuhi keperluan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas akibat pembatalan penerbangan susulan sekatan perjalanan tempatan dan antarabangsa membabitkan pandemik Covid-19.
Berikutan itu, MAVCOM menegaskan bahawa ia akan terus melaksanakan tugas di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.
Dalam kenyataan pada Isnin, MAVCOM berkata secara prinsipnya, syarikat penerbangan perlu membayar balik jumlah bersamaan dengan kos tiket pada masa pembelian termasuklah cukai, fi dan caj yang telah diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang tertulis serta caj perkhidmatan pilihan yang telah dibeli oleh pengguna terbabit.
“Syarikat penerbangan mestilah melaksanakan prinsip wajar dan adil dalam penentuan kaedah pembayaran balik kepada pengguna yang terjejas.
“Kaedah pembayaran balik mesti meletakkan pengguna terjejas dalam keadaan sama pada waktu pembelian tiket untuk kepentingan terbaik syarikat penerbangan dan juga pengguna terbabit,” katanya.
Menurut MAVCOM, pada masa sama ia turut mengambil maklum bahawa kebanyakan syarikat penerbangan telah memenuhi permintaan bayaran balik tersebut.
“MAVCOM menggalakkan semua syarikat penerbangan untuk terus berusaha bagi memenuhi keperluan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas,” katanya. – Bernama
- BACA: COVID-19: KREW PENERBANGAN CHINA DINASIHAT GUNA LAMPIN PAKAI BUANG
- BACA: AIRSIAL DIJANGKA OPERASI TAHUN DEPAN. JANGAN MACAM-MACAM, SYARIKAT PENERBANGAN ASLI DI PAKISTAN
- BACA: SYARIKAT PENERBANGAN KOREAN AIR MAHU BELI PESAING ASIANA AIRLINES
- BACA: FIREFLY AKAN JADI SYARIKAT PENERBANGAN NASIONAL JIKA MALAYSIA AIRLINES DITUTUP