
SPIDER MAN TERPAKSA TINGGAL DALAM PROTON ISWARA. REALITI KEHIDUPAN PANDEMIK COVID-19
Rutin harian lelaki ini memadankan sut superhero Marvel, Spider Man dan merakam gambar bersama khalayak umum dalam mengukir senyuman mereka.
Begitupun, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di bawah sut berkenaan, Spider Man terbabit menyimpan seribu rahsia tentang kesempitan hidup dihadapinya.
Yulius Atma Negara Thamrin, 30, yang lebih mesra disapa sebagai Yan, kini tinggal di dalam sebuah kereta Proton Iswara bersama-sama isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.
Menurut The VOICE, sejak 11 bulan lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan bagi membendung pandemik Covid-19 yang melanda negara, anak-beranak terbabit mula ‘mendiami’ kereta berkenaan.
“Ketika PKP dilaksanakan, saya hilang pendapatan kerana tidak boleh membuat persembahan sehingga terpaksa keluar rumah dan tinggal dalam kereta.
“Sejak itu, setiap malam saya akan mencari lokasi untuk bermalam seperti di Dataran Danga Bay atau mana-mana stesen minyak untuk kemudahan bilik air,” katanya.

Menurut Yan, sebelum pandemik melanda negara, dia mampu meraih pendapatan melebihi RM3,000 sebulan sebagai penghibur jalanan dan mengambil tempahan.
Katanya, ia berubah sama sekali apabila pandemik malah hendak mendapat RM50 sehari pun agak sukar dalam keadaan sekarang.
“Saya mengenakan bayaran seikhlas hati daripada orang ramai yang ingin bergambar. Kadang-kadang orang bagi 20 sen pun saya terima untuk saya simpan beli makan minum bersama-sama isteri dan anak,” ujarnya.
Buat masa ini, bidang pekerjaan diceburi Spider Man berdepan kesukaran berikutan tempat awam kurang dikunjungi orang ramai malah tempahan sebagai badut di majlis turut terbantut.
“Justeru, setiap kali mengetahui terdapat program atau majlis diadakan di bandar raya ini saya akan muncul mengharapkan orang memberi sumbangan dengan memakai sut Spiderman tanpa mengira waktu,” katanya.

Yan mula menjadi penghibur jalanan sejak lima tahun lalu, akan muncul memakai sut Spider Man di Dataran Danga Bay, Bazar Karat, Stulang dan pelbagai lokasi tumpuan awam pada waktu malam.
Membuka bicara berhubung kehidupan di dalam kereta, dia akan tidur di kerusi pemandu, isterinya di kerusi penumpang hadapan manakala anaknya di kerusi belakang.
“Bonet belakang tempat simpan baju, saya akan tidur dalam keadaan duduk dan keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan saya dan keluarga.
“Kadang-kadang ketika saya buat aksi Spider Man, orang sorak gembira tetapi sebenarnya saya rasa seperti hendak pitam disebabkan sukar bernafas, tetapi saya terus beraksi demi peminat,” jelasnya yang menghidap penyakit komplikasi paru-paru sejak Jun tahun lalu.

Berikutan keadaan dan pendapatannya yang tidak menentu dia tidak mampu untuk menyewa rumah selain tidak tahu cara untuk memohon rumah daripada kerajaan.
“Bukan saya tidak mahu mencari pekerjaan tetapi disebabkan keadaan kesihatan saya bimbang tidak mampu memberi komitmen yang dikehendai majikan,” ujarnya.
Selain itu, isterinya yang berusia 25 tahun tidak bekerja kerana Yan mahu wanita itu fokus menjaga anaknya manakala dia bekerja menghiburkan orang awam dengan seikhlas hati.
Sebarang bantuan dan pertanyaan boleh menghubungi Yan menerusi talian 011-13311501. – THEVOICE