Buletin

PETRONAS, PERODUA, MAYBANK, McD DAN KWSP PALING BERJAYA URUS KRISIS COVID-19 SEPANJANG 2020 – IPSOS

Lima buah organisasi tempatan dilihat berjaya menguruskan krisis pandemik COVID-19 dengan begitu baik berbanding sektor swasta sepanjang tahun lalu.

Organisasi tersebut ialah Petronas, Maybank, McDonalds, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Perodua.

Kaji selidik dilakukan oleh firma penyelidikan pasaran Ipsos itu melibatkan 4,000 responden yang memberi maklum balas melalui temuramah secara bersemuka terhadap lebih 100 jenama tempatan pada Jun sehingga November 2020.

Hasilnya, 65 peratus responden atau dua daripada tiga rakyat Malaysia dalam kaji selidik berkenaan bersetuju bahawa Petronas berjaya menguruskan krisis sepanjang tahun 2020 dengan sangat baik.

Ia diikuti oleh Maybank (62 peratus) KWSP dan McDonald’s (60 peratus), manakala  Perodua (59 peratus).  

Memandangkan semua lima organisasi berkenaan berada dalam bentuk perniagaan yang sangat berbeza, Ipsos mendapati ini bermakna pengurusan krisis yang berkesan tidak terhad kepada sektor-sektor tertentu sahaja.

Kaji selidik Ipsos menunjukkan beberapa elemen penting dalam pengurusan krisis yang dapat dilihat pada lima organisasi terlibat, antaranya ialah komunikasi yang jujur.

Sepanjang tahun 2020 ketika organisasi sentiasa cuba untuk mengadaptasi keadaan baru, kaji selidik itu mendapati Maybank dan Pos Malaysia menyerlah kerana bersikap ‘terbuka dan jujur’ dalam komunikasi mereka. Ini dipersetujui oleh 67 peratus responden.

67 peratus responden juga menyatakan KWSP menonjol berikutan sokongannya kepada komuniti tempatan. Sementara McDonald’s memperoleh skor paling tinggi dari segi mengutamakan pelanggannya. 71 peratus responden juga mengakyi Maybank mempunyai prestasi kewangan yang kukuh.

Pengarah Urusan Ipsos Malaysia, Arun Menon mengakui bahawa tahun 2020 telah memaksa syarikat untuk memberi maklum balas terhadap krisis yang tidak pernah diduga oleh sesiapa. Malah ramai yang mengambil tindakan pantas dan jitu.  

“Daripada menyusun semula keupayaan produksi kepada melaksanakan cara baharu dan kreatif untuk menyokong pengguna, sebilangan syarikat dilihat berjaya menguruskan krisis yang akhirnya dapat meningkatkan kepercayaan pelanggan dan masyarakat terhadap mereka,” kata Menon dalam satu kenyataan.

Dalam kaji selidik yang sama, hampir separuh daripada responden percaya bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan mampu menguruskan krisis dengan lebih baik berbanding sektor swasta. – MalayMail

Google ads
Back to top button