Motosikal

CUBA ELAK ULAR, IBU SARAT MENGANDUNG MAUT. ANAK BERJAYA DISELAMATKAN

Seorang wanita yang sarat mengandung maut apabila cuba mengelak ular dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang di Jalan Jeniang Sik-Pedu, kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

Mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, yang berasal dari Bandar Baru Beris Jaya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Honda Wave Alpha ditungganginya bergesel dengan sebuah kereta dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, mangsa menaiki motosikal itu bersama seorang lagi wanita, namun mangsa kedua hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Daerah Sik.

Kandungan wanita itu yang masih bergerak ketika kejadian berjaya diselamatkan selepas mangsa dibawa segera ke hospital untuk mengeluarkan bayinya.

“Wanita itu mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya. Bayi lelaki yang juga anak keduanya itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk rawatan lanjut. 

“Dalam kemalangan itu, mangsa cuba mengelak seekor ular yang keluar secara tiba-tiba di bahu kiri jalan, lalu menyebabkan dia memasuki laluan kereta dan berlaku pelanggaran di bahagian sebelah kiri kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Abdull Razak memaklumkan, pemandu kereta jenis Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dia sedang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Enggang untuk mengambil anaknya yang bekerja di situ.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Online

Google ads
Back to top button