Buletin

CUBA TIPU POLIS DENGAN TAMBAH JALUR PADA KERETA, LELAKI DIHUKUM PENJARA 4 BULAN

Seorang pemandu van cuba mengelak membayar saman dengan menambah jalur pada  bonet kenderaannya  agar nampak berlainan daripada kenderaan dalam rakaman kamera perangkap laju polis, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Pemilik van, William Britton dirakam memandu pada kelajuan 119 kilometer sejam di kawasan dengan had laju 96.5km/j. 

Penalti minimum untuk memandu laju di Wales adalah denda £100 (RM520) dan tiga mata penalti ditambah pada lesen memandu.

Britton bagaimanapun menghantar ‘wajah’ terbaharu van jenis Ford Transit miliknya kepada polis dan mendakwa bahawa mereka menyaman individu yang salah.

Polis Swansea berjaya membongkar taktik licik Britton selepas melakukan siasatan yang mengambil masa 12 hari, melibatkan rekod bayaran bank, pengecaman automatik nombor plat kenderaan dan isyarat telefon bimbit.

“Anda sepatutnya terima sahaja saman yang diberikan dan tidak mewujudkan situasi sekarang yang jauh lebih serius berbanding kesalahan trafik,” kata  seorang hakim mahkamah Swansea.

Britton dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan tertangguh selama 12 bulan serta hilang kelayakan memandu selama enam bulan. Dia juga diperintahkan membayar £500 (RM2,603) untuk kos pendakwaan. – Agensi

Google ads
Back to top button