
TIPU POLIS UNTUK BALIK KE KL. POLIS SUDAH KENAL PASTI KELUARGA TERBABIT
Sejak semalam, tular kisah seorang lelaki memberi tips bagaimana untuk menipu polis untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Hari ini, polis mengesahkan bahawa mereka telah mengenal pasti suspek dan keluarganya yang didakwa mempengaruhi orang ramai supaya ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Saya nak beri peringatan kepada semua jangan pengaruhi orang lain untuk ikut tindak tanduk mereka.
“Polis sudah mengenal pasti individu terbabit. Tindakan akan diambil kepada mereka kerana tiada sesiapa boleh terlepas dari undang-undang, lebih-lebih lagi mereka mengakui ingkar arahan PKP,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian di Putarajaya hari ini.
Ismail Sabri mengingatkan supaya jangan bangga melakukan kesalahan dan menganggap diri seperti hero yang akhirnya akan menyusahkan diri sendiri dan keluarga.
Terdahulu tular di media sosial seorang lelaki memberi alasan ingin membuat pemeriksaan anak di klinik kesihatan dan tiada orang yang dapat menjaga anak menyebabkan mereka keluar sekeluarga.
“Tips dia, hendak bawa anak pergi hospital, anak-anak di belakang tiada orang jaga,” tulisnya pada gambar berkenaan.
Mengulas mengenai dakwaan polis tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan kepada pesalah PKP, Ismail Sabri berkata, tindakan polis adalah mengikut Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
“Mengikut Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan jelas menyatakan Menteri Kesihatan boleh melantik mana-mana pegawai termasuk polis yang diberikan kuasa melaksanakan perkara berkaitan akta itu.
“Segala kesalahan mengingkari perintah pegawai awam boleh dihukum mengikut akta itu dan kanun keseksaan. Jadi, jika ada yang persoalkan kuasa polis saya ingin jelaskan polis memang berkuasa bagi melaksanakan tugas apa yang termaktub dalam akta itu,” katanya. – Harian Metro, Malaysia Gazette