
CUPRA FORMENTOR VZ5 2026: ENJIN 5 SILINDER AUDI, 390 PS/480 NM – 4,000 UNIT SAHAJA
Pada 2021, CUPRA Formentor VZ5 hadir dalam jumlah terhad 7,000 unit. Buat peminat yang terlepas, CUPRA sekali lagi menawarkannnya dan kali ini lebih sedikit untuk direbut iaitu sebanyak 4,000 unit.
Satu lagi yang menarik, buat pertama kali jumlah tersebut turut merangkumi versi pemanduan kanan dan membuka peluang kepada pasaran seperti United Kingdom.
Ada lagi yang menarik, CUPRA Formentor VZ5 menggunakan enjin lima silinder!
Enjin 2.5 TSI 5 Silinder Dari Audi

Di bawah bonet, tersimpan enjin ikonik 2.5-liter TSI lima silinder turbo, unit yang dibangunkan oleh Audi dan turut digunakan dalam RS3 serta TT RS.
Cakap-cakap sebelum ini mengatakan enjin lima silinder bakal digunakan pada Volkswagen Golf R dan apa yang pasti, sudah selamat dipasang pada Formentor VZ5.
Untuk CUPRA, enjin ini menjana 390 ps dan tork 480Nm, digandingkan bersama transmisi DSG 7-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Drive dengan teknologi torque splitter bagi agihan kuasa lebih tepat di setiap roda.
Enjin ini ditala semula untuk memberikan pengalaman yang lebih emosional
Reka Bentuk Lebih Berani Dan Eksklusif

Versi baharu VZ5 menerima beberapa perincian luaran khusus termasuk bampar hadapan lebih agresif, pemisah dengan logo VZ5, serta lengkungan roda lebih lebar.
Bahagian belakang pula menampilkan penyebar (diffuser) baharu bersama empat muncung ekzos tembaga pada kedudukan menyerong, yang menjadi identiti VZ5.
Rim aloi 20 inci rekaan khas dengan kemasan tembaga melengkapkan penampilan sporti, digandingkan dengan logo CUPRA berwarna krom gelap serta pilihan warna eksklusif:
- Midnight Black
- Dark Void
- Magnetic Tech Matt
- Century Bronze Matt
- Enceladus Grey Matt
Kabin Sporti Dan Digital

Bahagian dalaman mengekalkan tema CUPRA yang sofistikated dan berorientasikan pemandu.
Ia dilengkapi kerusi CUPBucket dengan sokongan sisi tinggi, lampu suasana penuh, serta kemasan dan jahitan tembaga yang menjadi identiti jenama.
Sistem maklumat hibur digital penuh dan susun atur minimalis menjadikan kabin VZ5 bukan sahaja sporti tetapi juga moden dan intuitif, sesuai dengan semangat prestasi era baharu CUPRA.
Direka Dan Dibangunkan Di Barcelona
Seperti model CUPRA lain, Formentor VZ5 direka, dibangunkan dan dihasilkan di Barcelona, dengan pengeluaran dijadual bermula pada suku pertama 2026.













