
CUPRA FORMENTOR DAN LEON 2024, TAMPIL GARANG, ENJIN TSI, TDI, MHEV, PHEV
Cupra sebagai jenama sendiri dilancar pada 2018. Menjadi subsidiari SEAT tidak semestinya berkongsi model dan Formentor yang dilancar pada 2020 merupakan model khusus dari syarikat.
Beberapa tahun di pasaran, crossover SUV itu diperkenal dengan rupa baharu dan seperti sebelumnya kekal garang. Formentor merupakan model terlaris Cupra dan menjadi ikon kepada syarikat.
Di dalam segmen A-CUV yang kompetitif, Formentor mengungguli carta jualan dengan penghantaran di peringkat antarabangsa berjumlah 120,100 buah atau bertambah 23 peratus daripada 2022.

Bersama Formentor, Cupra turut memperkenal Leon hatchback dan Sportstour rupa baharu yang juga hadir dengan bampar garang dan lampu cantik.
Bahagian depan menampilkan logo Cupra yang dipindah ke depan tukup dan wajah muncung jerung yang menyerlahkan rupa agresif selain lampu matrik LED bentuk segi tiga dan bahagian bawah yang ternganga.
Cupra menawarkan warna kusam baharu Century Bronze dan Enceladus Grey yang memberi lebih karakter kepada kedua-dua model.

Bahagian dalam diperkemas dengan konsol tengah rekaan baharu dan bahan baharu selain mengambil kira kegunaan secara lestari.
Kerusi bucket dibalut dengan 73 peratus mikrofiber kitar semula atau kulit yang mengutamakan alam sekitar.
Turut diperbaharu dan dipertingkat sistem antara muka manusia-mesin digital cockpit (meter pemandu) dan skrin maklumat hibur yang lebih besar dengan saiz 12.9 inci.

Kedua-dua model dilengkapi sistem audio dengan 12 pembesar fideliti tinggi dan dibangunkan bersama pakar audio Sennheiser Mobility.
Seperti sebelum ini, Formentor meriah dengan penawaran enjin. Model 2024 membawakan empat jenis teknologi berbeza iaitu TSI (petrol), mild hybrid (eTSI), TDI (diesel) dan eHybrid (hibrid plug-in).
Teknologi plug-in hibrid baharu mempunyai kuasa 272 ps dan mod elektrik boleh diguna sehingga lebih 100 kilometer (km). Pengecasan pantas sehingga 50 kilowatt (kW).
Untuk Formentor dan Leon Sportstourer, Cupra menawarkan pilihan enjin petrol baharu berkuasa 333 ps dengan teknologi pemisah daya kilas dan brek Akebono.

Cupra Formentor:






Cupra Leon dan Leon Sportstourer:














