CURI EKZOS KERETA, 15 LELAKI TERMASUK WARGA BANGLADESH DAN PEMILIK KEDAI BESI BURUK DITAHAN POLIS
Seramai 15 orang penjenayah termasuk dua warga Bangladesh yang aktif mencuri ekzos kenderaan di sekitar daerah Gombak, Selangor berjaya ditahan pihak polis.
Penahanan itu dibuat oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang melakukan risikan dan serbuan di Gombak, Rawang serta Sentul pada 27 November lalu selepas menerima beberapa laporan kehilangan ekzos.Â
Justeru, lelaki berusia antara 27 hingga 56 tahun yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu termasuk pemilik premis besi buruk berjaya ditahan.
“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis tabung ekzos kenderaan yang dicuri. Polis juga menemui semula ekzos yang sudah dipotong dan dijual di premis besi buruk serta kedai lerai komponen kenderaan.
“Suspek didakwa melakukan kegiatan pada waktu malam dan mensasarkan kenderaan di parkir luar premis dan kediaman. Mereka menggunakan jek tayar untuk angkat kenderaan sebelum memotong ekzos,” kata Ketua Polis Daerah Gombak, Assisten Komisioner Arifai Tarawe dalam sidang media di IPD Gombak baru-baru ini.
Suspek dipercayai menjual ekzos berkenaan pada harga antara RM500 sehingga RM2,000 mengikut jenis. Soal siasat mendapati suspek mendakwa ekzos terbabit boleh digunakan untuk melenturkan barang berharga.
Menurut Arifai, pihaknya masih menyiasat pembabitan kumpulan itu dan percaya ada pemilik kenderaan yang ekzos kenderaan mereka dicuri tidak membuat laporan polis.
Semua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Harian Metro