GENG CURI EKZOS TUMPAS. BIKIN EMAS PUTIH RUPANYA
Sindiket curi ekzos kereta terbiar di parkir bawah tanah dan bangunan kediaman sekitar Lembah Klang tumpas dalam satu serbuan pada 6 Oktober lalu.
Tangkapan terhadap dua lelaki berusia 36 dan 43 tahun itu dibuat selepas pihak polis menerima satu aduan daripada pengawal keselamatan sebuah bangunan kediaman di Puchong berhubung kegiatan dua suspek mencuri komponen daripada kereta terbiar di kawasan tersebut.
Bertindak atas maklumat, polis menahan dua lelaki berkenaan di sebuah hotel di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.
Penahanan dua lelaki terbabit membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang juga pembeli utama barang curi itu di kawasan tepi jalan SS2, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, hasil siasatan terhadap suspek ketiga berusia 54 tahun itu mendapati setiap satu ekzos yang dicuri suspek akan dibeli dengan harga lingkungan RM350 hingga RM650 mengikut jenis kenderaan.
Katanya, suspek akan menjual ekzos tersebut kepada sebuah syarikat yang dipercayai pembekal barang kemas dengan kadar RM1,500 setiap satu.
“Hasil siasatan mendapati di dalam tabung ekzos itu mempunyai tiga bahan iaitu paladium, rodium, platinum yang akan dicampur dengan bahan kimia tertentu bagi menghasilkan emas putih.
“Siasatan lanjut juga mendapati, suspek utama ini aktif membeli ekzos curi daripada suspek sekitar Lembah Klang sejak tahun 2018,” katanya pada sidang akhabr di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.
Menurutnya lagi, pihak polis berjaya merampas 15 buah tabung ekzos yang disimpan suspek di kawasan semak di Petaling Jaya.
Katanya, siasatan juga mendapati kereta jenis Kia dan Hyundai menjadi sasaran utama suspek-suspek yang terlibat dalam kegiatan curi komponen kenderaan sebelum dijual kepada suspek utama itu.
“Selain itu, kereta tahun 2010 turut menjadi sasaran kerana lebih lama sesebuah kenderaan itu banyak bahan untuk menghasilkan emas putih,” ujarnya.
Tambah Razali, ketiga-tiga tangkapan direman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
“Kita minta orang ramai khususnya yang kehilangan ekzos tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil,” katanya. – Kosmo!