
DACIA BIGSTER – SUV RUGGED BAHARU YANG LEBIH BESAR
Pengeluar kenderaan dari Romania Dacia tampaknya semakin yakin untuk terus melangkah maju dengan memperkenalkan model SUV terbaharu mereka, Dacia Bigster. Pengenalan SUV untuk segmen C ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik Renaulution untuk meneroka segmen yang lebih besar sementelah berada dalam kelas tersendiri untuk segmen B di Eropah.
Dacia Bigster ini sememangnya disasarkan untuk memenuhi keperluan pengguna di Eropah yang semakin berkembang dan mahukan sesuatu yang lebih besar dan selesa akan tetapi dengan harga yang lebih mampu milik.

Dacia Bigster ini terlebih dahulu diperkenalkan sebagai model konsep pada tahun 2021 ini sebagai lambang Renaulution ini menampilkan reka bentuk yang tipikal untuk sebuah SUV dengan mempunyai garisan pada hadapan yang menegak tetapi telah disesuaikan dengan rekaan fascia Dacia yang baharu dengan gril hitam berkilat yang menampilkan ikon Dacia Link di bahagian tengah dan juga rekaan lampu LED berbentuk Y. Bonet mendatar yang diukir telah direka untuk memberi pemandu pandangan yang jelas tentang jalan di bawah.
Terdapat rekaan skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang membuatkan penampilan sedikit lebih rugged. Begitu juga dengan body cladding yang menghiasi ruang sisi badan kenderaan dan juga roda yang diperbuat daripada bahan Starkle.

Dacia menggunakan bahan ini untuk pendekatan yang lebih mampan. Dibangunkan sendiri dengan menggabungkan bahan kitar semula. Starkle ini digunakan dalam keadaan semula jadi dan tidak dicat.
Pilihan roda bersaiz 17 inci atau pun 18 inci merupakan standard akan tetapi untuk varian tertinggi Journey pengguna akan mendapat rim bersaiz 19 inci. Varian Journey ini juga didatangkan dengan kemasan dua tona dengan bumbung berwarna hitam.
Paparan meter kluster digital untuk memaparkan info penting kepada pemandu akan menggunakan saiz 7 inci untuk varian standard dengan opsyen 10 inci untuk varian yang lebih tinggi. Manakala paparan sistem infohiburan akan menggunakan saiz 10.1 inci sebagai standard untuk semua varian.

Rekaan dalamannya mungkin sedikit minimalis untuk varian permulaan akan tetapi untuk varian yang tinggi, ianya akan didatangkan dengan perehat tangan lengkap dengan kotak penyimpan sejuk terbina dalam dengan ruang yang lebih luas.
Dacia Bigster ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan trenkuasa meliputi Hybrid 155 serba baharu daripada kumpulan Renault yang menggabungkan enjin 1.6 liter dan sepasang motor elektrik.
Satu pilihan adalah enjin TCe 140 yang menggunakan enjin 1.2 liter turbo dan 48V hibrid ringan dengan kotak gear manual enam kelajuan.
Pilihan trenkuasa terakhir adalah TCe 130 4×4 yang masih lagi menggunakan enjin 1.2 liter turbo dan 48V hibrid ringan akan tetapi didatangkan dengan fungsi pacuan empat roda.

Dengan ruang kargo yang cukup luas 667 liter sekiranya kerusi barisan tempat duduk belakang dihuni penumpang menjadikannya sebagai cukup luas. Begitu juga dengan ruang dalaman yang dikira luas dan selesa mampu menjadi pilihan pembeli kelak. Tiada makluman harga dinyatakan namun sebagai sebuah model Dacia, harga mampu beli sudah semestinya kelak.
BACA : DACIA SPRING SERBA BAHARU – EV MURAH BERBALOI UNTUK WANG
BACA : DACIA SANDERO KINI MERUPAKAN KERETA BAHARU TERLARIS DI EROPAH