Artikel Pilihan

JENTERA RALI TERULUNG – UNTUK DAKAR 2021 REKAAN PRODRIVE

Prodrive, sebuah syarikat kejuruteraan sukan motor kini diberi tanggungjawab untuk membangunkan jentera rali terulung untuk mengharungi cabaran Dakar 2021. Jentera yang dimaksudkan dinamakan BRX T1 dan ia dikatakan bakal beraksi seperti sebuah Ferrari di padang pasir.

Projek BRX ini dibiayai oleh sebuah syarikat kaya dari Bahrain yang bernama Bahrain Mumtalakat Holding Company yang juga dikenali dengan nama Mumtalakat. Tak kenal ke? Biasalah tu tapi syarikat ini juga merupakan pemegang saham majoriti kumpulan McLaren okey. Bukan calang-calang syarikat ni.

Kepakaran Prodrive selama 36 tahun dan sumber kewangan yang sangat besar dari Mumtalakat bakal menyaksikan sehebat mana air tangan mereka yang dinamakan Bahrain Raid Extreme ataupun BRX ini.

BRX merupakan hasil rekaan Ian Callum dan beberapa firma rekaan lain berkemungkinan besar akan turut dipasarkan sebagai kereta jalanan biasa.

Prodrive berminat untuk menyertai Dakar kerana peraturannya yang lebih bebas berbanding perlumbaan lain. Dakar membenarkan penggunaan tiga jenis enjin, dua jenis kotak gear dan rekaan badan yang fleksibel. Cabaran sudah tentu sangat hebat tetapi BRX T1 yang bakal dikemudi oleh Putera Mahkota Bahrain ini sendiri bukan gabungan yang kaleng-kaleng ye gais.

BRX menggunakan kerangka besi berbentuk selinder dan dikuasakan oleh enjin 3.5L V6 buatan Ford yang dilaraskan kepada 400 hp kuasa dan hampir 700 Nm tork. Walaupun Dakar sebelum ini banyak dikuasai oleh model dengan pacuan 2WD, Prodrive memilih pacuan 4WD yang digabungkan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan untuk BRX.

BRX mempunyai berat sekitar 1,850 kilogram dan mempunyai dimensi badan yang hampir sama dengan Ford Focus dan ia juga 345 kilogram lebih berat berbanding Ford Focus ST 2020.

Enjinnya sedang menjalani ujian Dyno di Prodrive dan casis pertama kini dalam persediaan untuk diuji September ini. Jurutera juga sedang menambah baik casis yang diwarnakan dengan warna Bahraini Racing Red (hmm…British Racing Green dan biasa dengar kan? Apa kata kita perkenalkan Malaysian Racing Yellow Egg?). BRX kini dikatakan sudah bersedia untuk menempuh perlumbaan Dakar yang mempunyai had laju 108 batu sejam (173 km/j).

Ujian perlumbaan akan berlangsung di Rallye du Maroc Oktober ini sebelum perlumbaan Dakar sebenar berlangsung di Jeddah bermula 3 Januari tahun hadapan selama 12 hari merangkumi 4,400 kilometer!

Google ads
"
"
Back to top button