
Kerajaan Malaysia sepatutnya mengharamkan motosikal berkapasiti rendah di bawah 250cc atau motor kapcai kerana ia mudah terdedah kepada kemalangan, kata seorang aktivis keselamatan jalan raya.
Kerajaan sebaliknya wajar menimbang untuk membenarkan hanya skuter elektrik dengan kelajuan tidak lebih 80km sejam, seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain, kata Shahrim Tamrin.
Menurut laporan yang dipetik portal The Malaysian Insight, kerajaan sepatutnya hanya membenarkan skuter elektrik dengan kelajuan tidak lebih 80km sejam, sepertimana yang dilaksanakan di China dan Taiwan.
Shahrin turut memberitahu bahawa secara tak rasmi, beliau sudah memeri usul perkara ini kepada beberapa agensi kerajaan dan akan menghantar satu kertas cadangan kepada kerajaan untuk mengharamkan motosikal underbone.
Beliau dipetik berkata demikian dalam satu Forum Keselamatan Penunggang Motosikal anjuran Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di Arau, Perlis.
Motosikal jenis kapcai menjadi pilihan penunggang di Malaysia kerana harganya yang mampu milik serta mudah untuk dikendali. Penggunaan skuter elektrik mampu mengelakkan daripada orang ramai menunggang dengan laju selain lebih mesra alam walaupun harganya agak tinggi.
Shahrim turut menempelak cara promosi syarikat pengeluar motosikal yang seolah-olah menggalakkan budaya berlumba di jalan raya.
Cadangan beliau turut disambut baik oleh Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Bakri Zainal Abidin yang turut disokong berdasarkan statistik tahun lalu, kadar kemalangan melibatkan kereta lebih tinggi berbanding motosikal, iaitu 591,399 kereta dan 113,288 motosikal.
Walaupun angka kemalangan motosikal lebih rendah,, angka kematian penunggang motosikal adalah jauh lebih tinggi, kira-kira 65 peratus.
KREDIT: THE MALAYSIAN INSIGHT