
SUPERKIP TURUN KE MOTO3 UNTUK MUSIM 2020 – BAKAL BERGANDINGAN DENGAN JOHN MCPHEE
Pasukan Petronas Sprinta Racing mengesahkan bahawa Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali sebagai SuperKIP akan kembali ke persaingan Moto3 bagi musim 2020.
Tempatnya dalam Moto2 akan diisi oleh seorang lagi pelumba, Jake Dixon dari Britain. SuperKIP dilihat bergelut dengan prestasi pada tahun 2019 berikutan kecederaan jari yang dialaminya ketika beraksi di Litar Jerez pada Mei lalu. Kecederaan itu memaksanya menjalani tiga pembedahan dan disisihkan daripada perlumbaan sepanjang musim ini.

Justeru, Petronas Sprinta Racing akan menggandingkan Khairul dengan John McPhee. Pada tahun 2016, Khairul menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan dua kemenangan dalam Moto3. Namun, nasibnya dilihat kurang baik ketika dalam saingan Moto2.
“Saya bersyukur kerana masih dapat kekal dalam pasukan ini untuk setahun lagi kerana ia seperti sebuah keluarga yag besar. Saya ada beritahu ingin kembali ke Moto3 dan mereka beri peluang itu. Saya mahu memanfaatkan peluang di Moto3 kerana pada tahun 2016, saya hanya ada setahun dalam kejohanan tersebut.
“Jadi, masih banyak yang perlu dipelajari. Bergandingan dengan pelumba berpengalaman seperti McPhee juga pasti memberi banyak kelebihan kepada saya,” kata Khairul.
Dia meletakkan sasaran untuk berada di kelompok hadapan. Pemulihan daripada kecederaan mengambil masa yang lama dan agak mengecewakan. Tidak banyak yang boleh dilakukannya selain terus berusaha dan dia berharap pembedahan terakhir dapat membantunya untuk pulih.
Khairul akan terlepas baki perlumbaan Moto2 bagi musim perlumbaan 2019 dan digantikan oleh pelumba Malaysia, Adam Norrodin sebagai sebahagian daripada program pembangunan pasukan Petronas Sprinta Racing.
Ketua pasukan Petronas Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali yakin SuperKIP akan dapat kembali bersaing dengan baik dalam Moto3 tahun depan.
“Selepas membuat analisis terperinci, kami perlu memastikan Khairul mendapat rawatan terbaik dan pulih sepenuhnya, daripada memaksa dia kembali ke Moto2. Di Moto3, dia akan berada dalam persekitaran yang positif seperti sebelum ini dan kami harapkan keputusan lebih baik,” kata Razlan.