Buletin

NISSAN TUTUP KILANG DI INDONESIA. HANYA AKAN HASILKAN KERETA DATSUN DI SANA

Nissan Motor Co. dilapor telah menutup salah satu daripada dua buah kilangnya di Kerawang, Indonesia sejak enam bulan lalu dan tidak lagi menghasilkan kereta di bawah jenama Nissan di republik tersebut. 

Menurut Persatuan Industri Automotif Indonesia, tiada kereta jenama Nissan dihasilkan sejak Februari lalu. Nissan juga dikatakan menukar produksi MPV kompak Gran Livina ke kilang rakan pakatannya, Mitsubishi Motors Corp. 

Dua buah kilang Nissan terletak di bandar Industri Kota Bukit Indah, Jawa Barat, kira-kira 65km dari timur Jakarta. Presiden P.T. Nissan Motor Indonesia, Isao Sekiguchi memberitahu pihaknya menjalankan penstrukturan semula operasi dan mengoptimumkan pengeluaran. 

Produksi kenderaan Nissan pada tahun 2018 adalah sebanyak 3,468 unit, jatuh 70 peratus berbanding tahun sebelumnya. Angka itu hanya mewakili 0.3 peratus daripada pengeluaran keseluruhan di Indonesia. 

Satu lagi kilang Nissan akan menghasilkan kereta Datsun, jenama yang disasarkan untuk negara-negara membangun. Ia mencatat pengeluaran 2,596 unit dalam tempoh Januari hingga Jun 2019, jatuh 72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

Julai lalu, Nissan mengumumkan bahawa ia akan mengecilkan operasi di peringkat global yang menyaksikan 12,500 kakitangan hilang pekerjaan dalam masa tuga tahun. Rancangan itu termasuklah menghentikan 6,400 orang pekerja di lapan buah kilang termasuklah di Indonesia. 

Google ads
Back to top button