
SUPERMOPED LANCAR SEPARUH KEDUA 2025 – CEO MODENAS
Baru-baru ini kami telah dibawa ke kilang MODENAS yang bertempat di Gurun, Kedah bagi menyaksikan penyerahan lebih 1,000 unit skuter elektrik Modenas MEV-1 PRO kepada pihak Pos Malaysia.
Ketika sesi sidang media, beberapa soalan diajukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif CEO MODENAS, Roslan Roskan antaranya melibatkan perkembangan supermoped yang ditimbulkan sejak 2022.

Sebelum ini, rata-rata perkembangan yang diberikan pihak MODENAS mengenai supermoped tersebut adalah samar namun Roslan memberikan kemas kini yang lebih meyakinkan kali ini.
Ketika ditemui, Roslan memaklumkan bahawa supermoped tersebut telah pun ‘siap’ dan sedang menjalani ujian enduran. Menariknya, Roslan mendedahkan bahawa motosikal berkenaan akan dilancarkan sekitar separuh kedua tahun 2025.
Buat masa ini belum ada maklumat sahih mengenai sesaran enjin yang akan diguna pakai namun terdapat khabar angin merujuk kepada platform 150cc ke atas.