
DAKWA BALIK KUANTAN GUNA KABEL KPN, WANITA DIKECAM NETIZEN
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau tidak pernah memberi sebarang keistimewaan kepada mana-mana individu untuk melakukan apa jua perjalanan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau menegaskan, kebenaran hanya akan diberikan apabila melibatkan kes kebajikan atau pesakit yang mahu mendapatkan rawatan.
“Kecuali bagi kes-kes melibatkan kebajikan golongan OKU (orang kelainan upaya) dan pesakit, saya tidak pernah dihubungi oleh sesiapapun untuk mendapatkan “keistimewaan” bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa.
“Segala peraturan yang terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita bernama ‘Aznie Afiza’ memuat naik satu staus pada akaun Twitter miliknya, mendakwa menggunakan ‘kabel’ atau kenalan Ketua Polis Negara untuk bergerak ke Kuantan, Pahang.
Aznie mendakwa, bapanya merupakan rakan kepada Abdul Hamid dan memuat naik ciapan di Twitter menyatakan dia berjaya pulang ke Kuantan pada 12 April lalu.
“Hari ini ‘mood’ tidak baik sikit petang tadi cakap dekat mama papa nak balik Kuantan kemudian papa telefon KPN TS Hamid (Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid) sebab itu kawan dia tapi tidak jawab.
“Mungkin dia (Abdul Hamid) tidak boleh jawab panggilan sebab terlalu ramai orang minta tolong masa COVID-19, cuba nasib kalau ‘cable‘ ini membantu,” tulis Aznie di Twitter.
Aznie turut memuat naik video berdurasi 14 saat yang menunjukkan beliau telah tiba di persimpangan Genting Sempah untuk ke Kuantan.
Selepas mendapat kritikan, dia memadamkan akuan media sosialnya, namun beberapa tangkap layar status berkenaan masih tular di media sosial. – Astro Awani