Buletin

LANGGAR PKP, POLIS AKAN AMBIL KETERANGAN TIMBALAN MENTERI

Sejak semalam, tular foto menunjukkan seorang VVIP yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  

VVIP berkenaan, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dilihat berkumpul dengan beberapa orang masyarakat di Maahad Tahfiz di kawasan Lenggong, Perak.

Ahli Parlimen Bagan Serai yang turut ditemani oleh Exco Perak, Razman Zakaria didapati menikmati juadah masakan kampung selepas tamat menjalankan satu program di sana.

“YBTMK 1 dan rombongan singgah di Maahad Tahfiz di Lenggong yang diusahakan oleh YB Exco, Tuan Haji Razman dan diraikan dengan juadah masakan kampung,” tulis Noor Azmi di Facebooknya.

Bagaimanapun, carian di Facebook mengenai akaun itu mendapati ia telah dipadamkan, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan perkara itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Untuk sesiapa sahaja (tertakluk pada undang-undang), saya sudah sebutkan. Tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. Itu asasnya. Saya difahamkan sudah ada laporan polis dilakukan. Kita serah pada pihak polis,” kata Ismail Sabri.

Memetik laporan Harian Metro, polis akan memanggil Dr. Noor Azmi berhubung kehadiran beliau pada majlis makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, Perak, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan awal mendapati, Dr Noor Azmi sebelum itu meninjau kesiap-siagaan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Lenggong atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

“Sebelum itu, beliau meninjau persiapan kakitangan KKM dengan diiringi sebahagian EXCO Perak termasuk seorang daripadanya pemilik maahad tahfiz berkenaan.“EXCO yang juga pemilik maahad tahfiz itu kemudian membawa Dr Noor Azmi melawat maahad tahfiznya sebelum satu majlis makan diadakan oleh pengurusan maahad berkenaan,” katanya.  

Razarudin berkata, Dr Noor Azmi mungkin tidak menolak untuk menyertai majlis makan berkenaan kerana melihat pihak pengurusan sudah menyediakan jamuan.

“Bagaimanapun, berdasarkan gambar majlis makan yang tular, semua individu termasuk Dr Noor Azmi didapati duduk dalam keadaan berjarak antara satu sama lain.

“Namun, siasatan tetap akan dilakukan terhadap semua individu yang menghadiri majlis berkenaan,” katanya.

Ketika ini pihak polis masih lagi melengkapkan siasatan dan akan memanggil semua yang terbabit dalam masa terdekat.

KKM sebelum ini menegaskan sesiapa sahaja yang didapati berkumpul dalam mana-mana keramaian, walaupun sudah diarahkan untuk mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan berdepan hukuman dua tahun penjara. – Harian Metro, Astro Awani, Sinar Harian

Google ads
Back to top button