Motosikal

DANI PEDROSA BAKAL KEMBALI KE MOTOGP ATAS TIKET WILDCARD KTM DI LITAR MISANO

Bekas pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa dilapor bakal kembali ke litar sebagai pelumba wildcard untuk KTM di GP Misano. 

Pedrosa yang kini merupakan penunggang uji untuk pasukan MotoGP KTM akan menggunakan jentera RC16. Dia yang bersara pada tahun 2018 membawa pengalaman luasnya dalam saingan MotoGP untuk membantu KTM membina jentera yang lebih baik. 

Dengan pengalamannya membangunkan RC16, Pedrosa dilihat tidak berdepan masalah untuk mengendalikan jentera tersebut. Pengarah Sukan Bermotor KTM, Pit Beirer mengesahkan bahawa pelumba Sepanyol itu bersetuju untuk kembali ke litar sebaik sahaja tugas membangunkan jentera RC16 2022 siap. 

“Kita pasti dapat melihat Dani kembali beraksi di litar pada tahun ini. KTM akan memberinya tiket wildcard sebaik sahaja kami fikir pakej jentera RC16 2022 selesai sepenuhnya. Kami memang mahu Dani kembali berlumba, tetapi keputusan akhir terletak di tangannya,” kata Beirer. 

Beirer juga mengakui Pedrosa mahu berlumba sekali lagi. Cuma KTM tidak terlalu memaksa. Selepas tiga tahun bersara, agak menarik untuk melihat bagaimana Pedrosa perlu kembali cergas dan bersaing dengan pelumba sedia ada. Banyak yang berlaku dalam tempoh itu dan pasukan MotoGP pun sudah banyak berubah. 

Para peminat pasti teruja untuk melihat Pedrosa yang memiliki pengalaman selama 13 tahun dalam MotoGP membuat comeback secara rasmi dengan pasukan KTM.     

Google ads
"
"
Back to top button