Motosikal

JENTERA KTM MOTOGP 2020 DAPAT SENTUHAN DANI PEDROSA

Pasukan KTM yang baru-baru ini dikejutkan dengan pengumuman pelumba utamanya, Johann Zarco menamatkan kontrak lebih awal kini meletakkan harapan untuk bangkit semula pada musim depan menerusi bantuan bekas pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa. 

Bekas pemenang 54 kejuaraan Grand Prix selepas 18 tahun bersama Honda itu diminta memulakan kerjaya sebagai penunggang uji KTM setelah pulih daripada kecederaan tulang selangka.

Pengalaman luas pelumba berusia 33 tahun itu ditagih untuk menambah baik jentera RC16 KTM bagi saingan musim hadapan. 

“Dani sangat membantu dalam aspek enjin dan elektronik kerana dia jauh lebih berpengalaman berbanding penunggang GP dan Mika Kallio (penunggang uji KTM). Bukan semua penunggang dapat rasakan setiap perubahan yang dibuat. Tetapi, jika anda buat 10 naik taraf sekali gus, mereka mungkin dapat merasainya. 

“Inilah antara fokus utama kami sepanjang musim 2019. Kami akan uji pakej ubah suai ini secepat mungkin dengan pelumba kami,” jelas Pengarah Teknikal KTM MotoGP, Sebastian Risse. 

Menyentuh tentang kelemahan jentera yang ingin diatasi, Risse memberitahu pihaknya memberi fokus kepada cengkaman tayar belakang, selain mahu membina motosikal yang senang dikendalikan. 

Mengakui jentera sedia ada masih belum berada di tahap yang dimahukan, Risse bagaimanapun memuji prestasi pelumba Pol Espargaro yang berjaya mencatat keputusan memberangsangkan akhir-akhir ini. Perkembangan dari segi teknikal juga berlaku pantas apabila KTM kini menggunakan spesifikasi enjin yang ketiga. 

Kehadiran pasukan satelit hasil kerjasama dengan Tech3 pula berjaya mencungkil seorang pelumba berbakat besar, Miguel Oliveira. Rookie kelahiran Portugal itu kini disifatkan sebagai antara pelumba ‘oren’ terbaik selepas Espargaro. 

Dalam perkembangan berkaitan, KTM merupakan satu-satunya pasukan MotoGP yang tidak menggunakan chasis aluminium dan suspensi Ohlins. 

“Kami akan terus menggunakan suspensi WP dan kerangka besi. Fokus kami kini adalah untuk memahami fungsi tayar sebaiknya dan membuat keputusan yang betul,” kata Risse lagi. 

Google ads
Back to top button